Usul dirayah hadis 0045-0067
Usul dirayah hadis 0045
Usul (45) Hadits-hadits yang menyatakan kelebihan mana-mana tempat, bandar atau negeri dan pujian Nabi s.a.w. terhadapnya yang bersifat tetap dan berkekalan selain Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis adalah palsu, seperti kelebihan Baghdad, Iskandariah, Qazwin, `Asqalan, Qairawan, Dimasyq, Andalus, Khurasan dan lain-lain.
Demikian juga dengan hadits-hadits yang mencela sesuatu tempat atau negeri. Kalaupun ada doa-doa Nabi s.a.w. untuk sesuatu tempat atau negeri selain Mekah,
Madinah dan Baitul Maqdis, maka ia hanya meruju` kepada zaman tertentu, bukan bersifat tetap dan berpanjangan buat selama-lamanya.Cukuplah sebagai dalil bagi kelebihan Mekah dan Baitil Maqdis adanya al-Masjidil
Ĥarām dan al-Masjidil Aqsha padanya. Allah berfirman:
Al-Isra' 17:1
سُبْحَٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ
Bermaksud: Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia (Allah) jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (al-Isrā’:1).
Al-Masjidil Aqsha pernah dijadikan qiblat shalat umat Islam selama beberapa ketika (kira-kira enam belas bulan). Al-Masjidil Ĥarām pula merupakan qiblat umat Islam
buat selama-lamanya.
Dan cukuplah sebagai dalil bagi kelebihan Madinah pula firman Allah berikut:
Al-Hashr 59:9
وَٱلَّذِينَ تَبَوَّءُو ٱلدَّارَ وَٱلْإِيمَٰنَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِى صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّآ أُوتُوا۟ وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Bermaksud: Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum (kedatangan) mereka (orang-orang Muhajirīn), mengasihi orang-orang yang
berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga
45
Usul dirayah hadis 0046
mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Ĥasyr:9).
Di bawah ini dikemukakan beberapa hadits yang menepati Usul ke-45 sebagai contoh:
Contoh Pertama:
عن علي قال رسول الله صلى اللهعليه وسلم أربعة أبواب من أبواب الجنة مفتحة في الدنيا أولهن الإسكندرية وعسقلا وقزوين وفضل جدة على هؤلاء بيت اللهالحرامعلى سائر البيوت
Bermaksud: Diriwayatkan daripada `Ali, katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Empat pintu daripada pintu-pintu syurga terbuka di dunia ini. Pertamanya Iskandariah, (kedua) `Asqalān, dan (ketiga) Qazwīn. Dan (keempat)
kelebihan Judah (Jeddah) daripada semua yang tersebut itu seperti kelebihan Baitillahil Ĥarām daripada sekalian rumah yang lain.”
Rujukan:
Lihat Ibnu Hibbaan – Kitab ad-Dhu`afā Wa al-Martūkīn j.2 m/s 133, ad-Dailami – al-
Firdaus j.1 m/s 379, Ibnu al-Jauzi j.2 m/s 51-52, adz-Dzahabi -Mizān al-I`tidāl j.4 m/s
415, Hafizh Ibnu Hajar – Lisān al-Mīzān j.4 m/s 71, as-Suyūthi – al-La’āli’ al-
Mashnū`ah j.1 m/s 420, as-Shārim al-Manki Fi ar-Radd `Ala asSubki m/s 183, Ibnu
`Arrāq al-Kināni - Tanzīh asy-Syarī`ah al-Marfū`ah j.2 m/s 45.
Komentar:
(1) Ibnu al-Jauzi di dalam al-Maudhū`at telah mengemukakannya dengan sanad
berikut:
انبأنا محمد بن أبي طاهر عن الجوهري عن الدارقطني عنأبي حاتم البستي حدثنا محمد بن المسيب حدثنا إسماعيل بن مالك حدثنا الحجاج بن خالد حدثنا عبد الملك بن هارون بن عنترة عن أبيه عن جده عن على قال قال رسوالله صلى الله عليه وسلم
Setelah mengemukakannya beliau berkata, Kata Yahya (bin Ma`īn), “`Abdul Malik bin Harūn pendusta besar.” Kata as-Sa`di, “Dajjāl, pendusta besar.” Kata Ibnu Hibbaan,
“Dia mengada-ngadakan hadits.”
46
Usul dirayah hadis 0047
(2) Abu Haatim ar-Rāzi berkata, “`Abdul Malik bin Harūn bin `Antarah matrūkul Ĥadīts, Dzāhibul ĥadīts (perawi sangat lemah).” Al-Jauzajāni berkata tentangnya,
“Dajjal, pendusta besar.” Imam Bukhari, An-Nasā’i dan ad-Dūlābi berkata, “Perawi matrūkul ĥadīts.” Ad-Daaraquthni berkata, “Perawi matrūk, berdusta. Ayahnya juga
perawi matrūkul ĥadīts.” Al-Haakim pula berkata, “Dia meriwayatkan daripada ayahnya banyak hadits maudhū`.”
(3) Iskandariah terletak di Mesir, `Asqalān di Pelastin, Qazwīn di Iran dan Judah pula terletak di semenanjung `Arab (`Arab Saudi). Apa ertinya empat pintu daripada pintu-pintu syurga terbuka di dunia ini pada empat tempat tersebut? Kalau ertinya beramal dan berbuat baik di tempat-tempat itu boleh membawa anda ke
syurga, maka jelas sekali ia tidak khusus dengannya. Di mana pun seseorang itu beramal dan berbuat baik, ia akan membawanya ke syurga. Abu Sa`id al-Khudri
meriwayatkan bahawa pernah seorang `Arab badwi bertanya Nabi s.a.w. tentang hijrah.
Maka Baginda bersabda:
وَيْحَكَ إِنَّ شَأْنَهَا شَدِيدٌ فَهَلْ لَكَ مِنْ إِبِلٍ تُؤَدِّي صَدَقَتَهَا قَالَ نَعَمْ قَالَ فَاعْمَلْ مِنْ وَرَاءِ الْبِحَارِ فَإِنَّ اللَّهَ لَنْ يَتِرَكَ مِنْ عَمَلِكَ شَيْئًا
Bermaksud: “Hijrah itu perkara yang sangat berat weh! Adakah engkau menunaikan zakat untamu?” Jawab badwi itu, “Ya.” (Maka) Nabi s.a.w. bersabda: “Kalau begitu,
beramallah engkau di seberang beberapa lautan sekalipun, Allah sekali-kali tidak akan mengurangi sedikit pun pahala amalanmu.” (Hadits riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad,
Abu Daud, Nasā’i, Ibnu Hibbaan dan lain-lain).
Kalau ertinya tempat-tempat tersebut merupakan gambaran keindahan syurga, maka apa kurangnya tempat-tempat lain di dunia ini. Banyak lagi tempat di dunia ini yang jauh lebih indah dan lebih menarik daripada tempat-tempat tersebut!
(4) Sebenarnya apabila diketahui sesuatu hadits itu maudhu`, tidak perlu lagi anda bersibuk menta’wilkannya atau mencari jalan untuk menegakkannya.
(5) Pujian Rasulullah s.a.w. atau doa Baginda terhadap sesuatu tempat atau negeri selain Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis kalau pun ada hanyalah untuk zaman tertentu atau generasi tertentu yang berada padanya sahaja. Ia tidak menunjukkan kelebihannya yang
47
Usul dirayah hadis 0048
berkekalan atau berpanjangan hingga ke akhir zaman. Sebagai contohnya hadits
Rasulullah s.a.w. berikut:
وَالْإِيمَانُ يَمَانٍ وَالْحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ
Bermaksud: Iman sejati dari Yaman, fiqh sejati dari Yaman dan kebijaksanaan sejati dari Yaman. (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim).
Ini adalah sebahagian daripada hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain. Maksud sebenarnya tidak akan difahami jika tidak dibaca selengkapnya.
Hadits di atas selengkapnya adalah seperti berikut:
جاء أَهْلُ الْيَمَنِ أَضْعَفُ قُلُوبًا وَأَرَقُّ أَفْئِدَةً الْفِقْهُ يَمَانٍ وَالْحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ
Bermaksud: Orang-orang Yaman telah datang. Mereka adalah orang-orang yang paling lembut hati. Iman sejati dari Yaman, fiqh (kefahaman yang mendalam) sejati dari
Yaman dan kebijaksanaan sejati dari Yaman. (Hadits riwayat Bukhari, Muslim, Ibnu Hibbaan, Ahmad, at-Thabaraani, al-Bazzaar, at-Thaĥāwi di dalam Syarĥ Musykil al-Aatsār dan Ibnu Mandah di dalam al-Imān).
Ibnu al-Mulaqqin di dalam at-Taudhīĥ Syarĥ al-Jāmi` as-Shaĥīĥ mengemukakan beberapa pandangan `ulama’ berhubung dengan maksud sebenar sabda Nabi s.a.w. itu:
(i) Hadits ini mengandungi pujian Nabi s.a.w. terhadap orang-orang Yaman di zaman Baginda, lantaran segeranya mereka menerima da`wah Baginda dan cepatnya mereka
memeluk agama Islam tanpa bertegang dan bermusuhan terlebih dahulu seperti orang-orang Mekah dan lain-lain.
Pada sabda Nabi s.a.w. الْفِقْهُ يَمَانٍ وَالْحِكْمَةُ يَمَانِيَةٌ
(fiqh sejati dari Yaman dan kebijaksanaan
sejati dari Yaman), terdapat pujian Baginda terhadap orang-orang Anshār di Madinah, kerana mereka berasal dari Yaman dan kebanyakan fuqaha’ Shaĥābah terdiri daripadakalangan Anshār. Demikian kata al-Khatthābi.
(ii) Sesetengah `ulama’ berpendapat, maksud sabda Rasulullah s.a.w. iman sejati dari Yaman ialah iman bermula dari sebelah Yaman, kerana Mekah adalah tempat kelahiran Baginda dan ia terletak di sebelah Tihāmah, sedangkan Tihāmah pada
Usul dirayah hadis 0049
ketika itu dikira termasuk dalam Yaman. Itulah sebabnya Ka`bah juga disebut sebagai Ka`bah Yamaniah. Abu `Ubaid adalah salah seorang `ulama’ yang berpendapat begini.
(iii) Ada juga `ulama’ berpendapat pujian Rasulullah s.a.w. itu sebenarnya ditujukan kepada orang-orang Anshār di Madinah, kerana mereka berasal dari Yaman. Mereka
telah menyambut kedatangan Nabi ke Madinah dengan hati yang terbuka dan telah membela Baginda dengan seluruh jiwa raga.
(iv) Sesetengah `ulama’ pula berpendapat, hadits ini disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika Baginda berada di Tabūk. Maksud Baginda bersabda begitu ialah menyatakan Mekah dan Madinah sebagai pusat agama Islam. Secara kebetulan dari Tabūk, kedudukan Mekah dan Madinah berada di sebelah Yaman. Jadi maksud sabda
Rasulullah s.a.w. “Iman sejati dari Yaman, fiqh sejati dari Yaman dan kebijaksanaan sejati dari Yaman” itu ialah dari sebelah Yaman. Bukan betul-betul dari Yaman.
(v) Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
يقدم قوم هم أرق أفئدة منكم فقدم الأعربو فيهم أبو موسى فجعلوا يرتجزون ويقولون... غدا نلقى الأحبة ...محمدا وحزبه
Bermaksud: Nanti akan datang kepadamu satu kaum, hati mereka lebih lembut dari (hati) kamu. Lalu datanglah puak Asy`ariyyūn. Salah seorang dari mereka Abu Musa
al-Asy`ari. Mereka datang sambil mengungkapkan syair:
Besok kita akan bertemu kekasih-kekasih (kita)
Muhammad dan kumpulannya.
(Hadits riwayat Ahmad, an-Nasā’i, Ibnu Hibbaan, Ibnu Abi Syaibah, ad-Dhiyā’ al-Maqdisi, Abu Ya`la dan at-Thaĥāwi di dalam Syarĥ Musykil al-Aatsār).
Berdasarkan hadits ini dan hadits-hadits lain seumpamanya dapatlah dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. memang memaksudkan orang-orang Yaman yang akan datang
mengunjungi Baginda di Madinah semasa hidupnya. Dari kalangan merekalah kemudiannya muncul tokoh-tokoh dari kalangan sahabat yang amat berjasa kepadaumat Islam, seperti Abu Musa al-Asy`ari, Abu Hurairah dan lain-lain.
Usul dirayah hadis 0050
Soal ia tidak meliputi semua orang Yaman dan negeri Yaman di sepanjang sejarah, kepada kita umat Muhammad s.a.w. yang hidup lima belas abad selepas Baginda
tidaklah sukar untuk menerimanya, lantaran memang jelas keistimewaan-keistimewaan itu tidak ada pada mereka dan di negeri mereka sepanjang masa.
(6) Begitu juga dengan doa-doa keberkatan Rasulullah s.a.w. untuk sesuatu tempat atau negeri. Ia tidaklah buat sepanjang masa. Ia hanya terikat dengan sesuatu ketika atau generasi tertentu semata-mata yang menepati syarat-syarat untuk mendapat keberkatan doa Baginda, tidaklah ia berlaku buat selama-lamanya. Sebagai contohnya lihat hadits di bawah ini:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ أن النبي صلى الله قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي يَمَنِنَا قَالُوا وَفِي نَجْدِنَا قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي شَامِنَا اللَّهُمَّ بَارِكْ وَفِي يَمَنِنَا
قَالُوا وَفِي نَجْدِنَا قَالُ وَفِي نَجْدِنَا هُنَاكَ الزَّلَازِلُ وَالْفِتَنُ منهما أوقال: بِهَا يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ
Bermaksud: Ibnu `Umar meriwayatkan, katanya: Sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah berdoa dengan berkata: “Ya Allah! Berkatilah untuk kami pada Syam kami. Ya Allah
berkatilah untuk kami pada Yaman kami.” Para sahabat berkata, “Pada Najd kita juga.” Nabi s.a.w. terus juga berdoa dengan berkata: “Ya Allah! Berkatilah untuk kami pada
Syam kami. Ya Allah berkatilah untuk kami pada Yaman kami.” Para sahabat berkatalagi. “Pada Najd kita juga.” Baginda bersabda: “Di sana akan berlaku gempa-gempa
dan dari sana juga akan muncul fitnah-fitnah.” Atau Baginda bersabda: “Di sana akan muncul dua tanduk syaitan.”
Antara bukti yang menunjukkan doa-doa keberkatan Rasulullah s.a.w. untuk dua negeri tersebut bukan buat selama-lama dan bukan untuk sepanjang masa ialah kenyataan yang disaksikan oleh generasi kemudian, termasuk kita semua. Keadaan ke-dua-dua negeri
itu sama seperti negeri-negeri lain, adakalanya elok, adakalanya pula teruk.
(7) Ibnu al-Qayyim di dalam Naqdu al-Manqūl (m/s 160) berkata, “Demikian juga hadits-hadits yang memuji atau mencela Baghdad, Bashrah, Kufah, Marw, Qazwīn,
`Asqalan, Iskandariah, Nashībin, Anthakia, semuanya dusta.
(8) Al-Fairūzābādi (Abu Thāhir Muhammad bin Ya`qub al-Fairūzābādi m.817H) di tsabitnya tidak menyatakan pada Risalah (رسالة في بيان ما لم يثبت فيه حديث من األبواب dalam
di bawah bab-bab tertentu satu pun hadits) menulis: “13- Bab kelebihan Baitul Maqdis,
Usul dirayah hadis 0051
Batu besar di Al-Masjid al-Aqsha, `Asqalān, Qazwīn, Andalus dan Dimasyq. Tidak ada
hadits sahih tentangnya selain tiga hadits berikut tentang Baitil Maqdis:
(١) لَا تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ
Bermaksud: Tidak perlu dipersiapkan unta (untuk mendapat apa-apa kelebihan atau pahala beribadat di sesuatu tempat) kecuali untuk pergi kepada tiga masjid.
(٢) أنه سئل عن أَوَّلَ بيت وُضِعَ فِي الْأَرْضِ أَوَّلَ فقَالَ الْمَسْجِدُ الْحَرَامُ
قيل ثُمَّ ماذا قَالَ الْمَسْجِدُ الْأَقْصَى
Bermaksud: Bersembahyang padanya (al-Masjid al-Aqsha) mendatangkan pahala sebanyak lima ratus sembahyang (di tempat lain). (Lihat Risalah pada menyatakan tidak
tsabitnya di bawah bab-bab tertentu satu pun hadits m/s 15-16).
Contoh Kedua:
أنبأنا.....سبيل الله
51
Usul dirayah hadis 0052
وأن لله....بلقا
Bermaksud: Ĥudzaifah meriwayatkan, katanya: “Apabila Wilayah Khurasan (mulai) dita`luk, dan agak lama tentera-tentera Islam ke sana, sehingga mereka berkumpul di Azerbaijan dan kawasan-kawasan pergunungannya. Ketika itu lemahlah semangat `Umar r.a. lalu beliau berkata, “Kenapalah sibuk sangat aku dengan Khurasan!
Kenapalah sibuk sangat aku dengan Khurasan!! Alangkah baiknya kalau di antaraku dan Khurasan ada gunung-gunung salji! Alangkah baiknya kalau di antaraku dan Khurasan ada beberapa gunung api! Alangkah baiknya kalau di antaraku dan Khurasan ada seribu tembok, setiap satu daripadanya seperti termbok Ya’juj dan Ma’juj!!”
Usul dirayah hadis 0053
Ketika itu berkatalah `Ali bin Abi Thālib a.s., “Sabar wahai anak al-Khatthāb! Agaknya engkau tidak mendapat ilmu Muhammad, atau agaknya engkau belum mengetahui ilmu
dari Muhammad s.a.w. bahawa Allah mempunyai sebuah bandar di Khurasan, namanya Marw. Ia diasaskan oleh saudaraku Dzul Qarnain, dan `Uzair telah bersembahyang di situ. Sungai-sungainya cantik (menarik pengembara) dan buminya pula subur. Di setiap pintu bandar itu ada malaikat yang menghunus pedangnya demi menjaga penduduknya
daripada segala bencana hingga ke hari kiamat.
Allah (juga) mempunyai sebuah bandar di Khurasan. Namanya Thālaqān. Kekayaannya bukan berupa emas dan perak, tetapi berupa orang-orang mu’min yang
bangkit bila orang-orang lain bangkit dan menolong bila orang-orang lain telah gentar. Allah (juga) mempunyai bandar di Khurasan. Namanya Syāsy. Orang yang berdiri dan tidur di bandar itu seperti orang yang berlumuran dengan darahnya di jalan Allah.Allah (juga) mempunyai bandar di Khurasan. Namanya Bukhara. Penduduk Bukhara aman daripada kejutan ketika huru-hara berlaku. Ketika orang-orang lain bersedih, mereka pula bergembira. Bertuahlah Bukhara! Allah menjenguk mereka setiap malam, lalu mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya. Taubat orang-orang yang bertaubat di kalangan mereka pula diterima Allah.Allah (juga) mempunyai sebuah bandar di Khurasan. Namanya Samarqand. Ia dibangunkan oleh orang yang membangunkan Ĥīrah. Allah melindungi penduduknya dan mendengar hiruk-pikuknya. Setiap malam berserulah yang berseru (dengan berkata), “Bertuahlah kamu kerana akan memperolehi syurga! Berbahagialah
Samarqand! Orang-orang di sekitarnya akan aman daripada azab Allah pada hari kiamat nanti jika mereka ta`at.
Kemudian berkata `Ali, “Wahai Ibn al-Kawwā’, berapakah jarak di antara Busanj dan Hirāt?” Jawab Ibn al-Kawwā’, “Enam farsakh”. Kata `Ali, “Tidak, bahkan sembilan
Farsakh, tidak lebih dan tidak kurang walaupun sebatu. Demikianlah kekasih dan kesayanganku Muhammad s.a.w. memberitahuku.”Kemudian beliau (`Ali) berkata lagi, “Sesungguhnya di Khurasan ada sebuah bandar
dipanggil Thūs. Betapa hebatnya orang-orang mu’min di Thūs! Mereka tidak
Usul dirayah hadis 0054
mempedulikan kerana Allah celaan orang yang mencela. Mereka melakukan ibadat kerana Allah, dan menghidupkan Sunnah NabiNya s.a.w.Sesungguhnya di Khurasan (juga) Allah mempunyai sebuah bandar. Namanya
Khuwarizm. Orang yang tidur di situ seperti orang yang beribadat pada hari paling panjang di musim panas. Mereka adalah anak-anak Qafthūra.
Sesungguhnya di Khurasan (juga) Allah mempunyai sebuah bandar. Namanya Jurjan. Hasil taninya elok. Tanah tinggi dan tanah rendahnya menghijau. Sumber airnya pula
banyak. Makan dan minum hamba-hamba Allah di situ cukup mewah. Mereka berada dalam kesenangan ketika orang-orang lain berada dalam kesempitan. Ketika orang-
orang lain senang pula mereka kesempitan. Mereka menurut perintah Allah dan bersegera pula mentaatinya. Sungguh bertuah mereka! Sekali lagi, sungguh bertuah
mereka, jika mereka beriman dan membenarkan!
Sesungguhnya di Khurasan (juga) Allah mempunyai sebuah bandar. Namanya Qūmas. Alangkah istimewanya orang-orang di Qūmas! …Maka berkata `Umar, “Hai `Ali engkau memang penimbul fitnah!” Mendengar kata-kata (tuduhan) `Umar itu `Ali pun berkata, “Jika dua biji batu
tercampak dari udara pun orang akan berkata, “Ini perbuatan `Ali bin Abi Thalib.” `Umar seterusnya berkata, “Alangkah baiknya kalau jarak di antaraku dan Khurasan
sejauh jarak di antaraku dan Balqā’.” (Lihat Ibnu al-Jauzi – al-Maudhū`āt j.2 m/s 58-60).
Rujukan:
Ibnu al-Jauzi – al-Maudhū`āt j.2 m/s 58-60, as-Suyūthi - al-La’āli’ al-Mashnū`ah j.1 m/s 426-427, Ibnu `Arrāq al-Kināni – Tanzīh asy-Syarī`ah al-Marfū`ah j.2 m/s 46-47.
Komentar:
(1) Ibnu al-Jauzi di dalam al-Maudhū`āt setelah mengemukakannya di bawah tajuk
“Bab Kelebihan Negeri-Negeri Di Wilayah Khurasan” berkata, “Ini adalah satu hadits yang tidak diragui tentang kepalsuannya. Nama Abu `Ishmah ialah Nūĥ bin Abi
Maryam. Kata Yahya, “Langsung tidak bernilai. Haditsnya tidak boleh ditulis.” Kata
Usul dirayah hadis 0055
as-Sa`di, “Namanya telah jatuh.” Ad-Daaraquthni berkata, “(Dia) Perawi matrūk.” Ibnu Hibbaan pula berkata, “Tidak harus sama sekali berhujah dengannya.”
(2) As-Suyuthi dan Ibnu `Arrāq bersetuju dengan Ibnu al-Jauzi tentang maudhū`nya hadits ini. Mereka juga bersetuju dengannya tentang punca bagi hadits maudhū` ini ialah Abu `Ishmah Nūĥ bin Abi Maryam.
(3) Ibnu al-Jauzi berpada dengan menyebutkan Nūĥ sahaja sebagai perawi bermasalah dalam isnadnya, padahal terdapat beberapa lagi sudut kelemahan pada hadits Ĥudzaifah ini terutamanya di sudut dirayahnya.
(4) Pengaruh Syi`ah terdapat pada beberapa tempat di dalam riwayat ini. Antaranya:
(i) Selepas disebutkan `Ali bin Abi Thālib didoakan untuknya dengan berkata السالم عليه.
(ii) Ia menagndungi unsur “tabarra” yang jelas terhadap `Umar. Saiyyidina `Umar
digambarkan sebagai seorang yang pengecut dan mudah patah semangat dalam perjuangan.
(iii) Saiyyidina `Ali pula digambarkan sebagai seorang juah lebih sabar dan lebih berpengetahuan tentang hadits-hadits Nabi s.a.w. berbanding Saiyyidina `Umar.
(iv) Saiyyidina `Umar telah menuduh Saiyyidina `Ali sebagai penimbul fitnah.
(5) Untuk memuliakan beberapa negeri dan bandar di wilayah Khurasan dikatakan ia adalah bandar dan negeri Allah! Sedangkan tidak boleh berkata begitu tanpa adanya
nas yang terang dan sahih tentangnya.
(6) Di setiap pintu bandar Marw dikatakan ada malaikat yang menghunus pedangnya demi menjaga penduduknya daripada segala bencana hingga ke hari kiamat.
Sedangkan itu adalah perkara ghaib, tanpa adanya dalil yang terang dan sahih tidak dibenarkan kita orang-orang Islam berkata sesuka hati kita. Kenyataan juga membuktikan bahawa Marw juga seperti negeri-negeri lain tidak terlepas daripada bencana sebagai ujian daripada Allah.
(7) Bandar Syāsy digambarkan begitu istimewa sehingga riwayat ini menyebutkan orang yang berdiri dan tidur di bandar itu seperti orang yang berlumuran dengan
Usul dirayah hadis 0056
darahnya di jalan Allah. Adakah kelebihan ini khusus dengan zaman tertentu atau untuk selama-lamanya? Tidak pula ia menjelaskannya. Kalau kelebihan itu diperolehinya kerana jihad demi menegakkan agama Islam yang
pernah dilancarkan padanya, maka ia sepatutnya tidak khusus dengan Syasy sahaja.
(8) Apa yang disebutkan sebagai kelebihan-kelebihan bandar-bandar atau negeri-negeri lain di wilayah Khurasan seperti Bukhara, Samarqand, Jurjan, Thus, Qūmas dan lain-
lain itu berdasarkan dalil-dalil yang sahih tidak khusus dengannya semata-mata. Orang-orang yang melakukan ibadat kerana Allah, dan menghidupkan Sunnah
NabiNya s.a.w. di tempat-tempat lain juga mendapat keistimewaan yang sama atau mungkin lebih lagi daripada apa yang tersebut di dalam riwayat ini.
(9) Terdapat juga beberapa kenyataan yang bertentangan di dalam riwayat itu. Semuanya tidak lain hanyalah menunjukkan kepalsuannya. Antaranya:
(i) Ketika menyebutkan tentang kelebihan Jurjān dikatakan, “Mereka berada dalam kesenangan ketika orang-orang lain berada dalam kesempitan. Ketika orang-orang lain
senang pula mereka kesempitan.”Kelebihan apakah ini? Apa lebihnya orang-orang Jurjān, kalau ketika orang-orang lain senang, mereka pula kesempitan?!
(ii) Kalau `Ali dipercayai benar dalam tutur katanya, kenapa pula `Umar menuduhnya sebagai penimbul fitnah? Bagaimana boleh `Umar menolak hadits yang dikemukakan oleh `Ali, jika memang benar `Ali telah meriwayatkannya sebagai sabda Rasulullah
s.a.w.?!
-----berhenti disini----
Contoh Ketiga:
Bermaksud: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Mesir akan dita`luk sepeninggalanku. Maka rebutlah kamu kebaikannya, tetapi jangan jadikannya sebagai
tempat tinggalmu. Sesungguhnya akan digiring kepadanya orang-orang yang paling
pendek umurnya.”
Usul dirayah hadis 0057
Rujukan:
Ibnu al-Jauzi – al-Maudhū`āt j.2 m/s 57, at-Thabaraani – al-Mu`jamu al-Kabīr j.5 m/s
74, Abu Nu`aim al-Ishfahāni – at-Thibb an-Nabawi j.1 m/s 254, as-Sakhāwi - al-
Maqāshidu al-Ĥasanah m/s 740-741, al-`Ajalūni – Kasyfu al-Khafā’ j.2 m/s 479, Mulla
`Ali al-Qāri – al-Asrār al-Marfū`ah m/s 395.
Komentar:
(1) Di bawah ini adalah sanad Ibnu al-Jauzi di dalam al-Maudhū`āt bagi riwayat di atas:
انبانا....،وسلم
(2) Ibnu al-Jauzi telah mengemukakannya di dalam al-Maudhū`āt di bawah tajuk “Bab berhubung dengan celaan terhadap Mesir”. Setelah mengemukakannya beliau menukilkan kata-kata Abu Sa`id bin Yunus, salah seorang perawinya, bahawa: “Ini adalah hadits yang sangat mungkar. Allah memelihara Abu `Abdir Rahman, Musa bin
`Ali (bin Rabāĥ bin Qashīr al-Lakhmi) daripada meriwayatkan hadits seperti ini. Hanya Muthahhar bin al-Haitsam meriwayatkannya daripada beliau, sedangkan Muthahhar itu seorang perawi matrūk al-ĥadīts.”
(3) Imam Bukhari dikatakan ada juga meriwayatkan hadits ini di dalam kitabnya at-Tārīkh as-Shaghīr dan beliau mengatakan ia tidak sahih. Sementara Imam Ibnu al-Jauzi
sendiri pula telah menghukumnya sebagai hadits maudhū`. Selain beliau, as-Sakhāwi, al-Albāni, al-Ghumāri dan lain-lain juga turut memaudhu`kannya.
(4) Satu hadits lain yang lebih kurang sama mafhumnya dengan hadits contoh ketiga yang dikemukakan di atas juga ada tersebut di dalam kitab-kitab hadits maudhu`.
Berikut adalah teksnya:
يُسَاقُ إلى مصر كل قصير العمر
Usul dirayah hadis 0058
Bermaksud: Akan digiring ke Mesir semua orang yang pendek umurnya. (Lihat as-Sakhāwi - al-Maqāshidu al-Ĥasanah m/s 740, al-`Ajalūni – Kasyfu al-Khafā’ j.2 m/s
479, Mulla `Ali al-Qāri – al-Asrār al-Marfū`ah m/s 395).
(5) Dilihat dari sudut dirayat, kepalsuan hadits ini jelas sekali, kerana ia bercanggah dengan kenyataan. Adakah semua orang yang tinggal di Mesir pendek umurnya?
(6) Bukankah sekian ramai sahabat Nabi s.a.w. telah berhijrah ke Mesir dan menetap di sana? Sekiranya mereka mengetahui hadits ini tentu mereka tidak melanggarnya dan tentu mereka tidak tinggal di Mesir.
(7) Andaikata hadits ini telah tersebar di zaman sahabat sekalipun, tentu para sahabat yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. sendiri secara langsung tidak akan terpedaya
dengannya.
Usul dirayah hadis 0059
(ii) Di bawah biografi `Ali bin Rabāĥ bin Qashīr al-Lakhmi, adz-Dzahabi mengisyaratkan bahawa beliau adalah salah seorang perawi Sahih Muslim dan 4 Kitab
Sunan yang utama (Sunan Nasā’i, Sunan Abi Daud, Sunan Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah).
Lalu adz-Dzahabi menyebutkan, beliau (`Ali) telah mendengar hadits daripada `Amar bin al-`Aash, `Uqbah bin `Aamir, Abi Qatādah, Abi Hurairah, Fadhālah bin `Ubaid,
`Abdillah bin `Amar dan sekumpulan sahabat yang lain. Beliau (`Ali) telah dikurniakan umur yang panjang.
`Ali bin Rabāĥ terbilang sebagai salah seorang `ulama’ besar di kalangan Tābi`īn.
Dikatakan, beliau lahir pada tahun berlakunya perang Yarmūk. Al-Ĥasan bin `Ali al-`Addās berkata, beliau meninggal dunia pada tahun 117 Hijrah. Kata adz-Dzahabi,
mengambil kira beliau dilahirkan pada tahun berlakunya perang Yarmūk, maka umurnya ketika meninggal dunia telah melebihi seratus tahun.
(Lihat Siyar A`lām an-Nubalā’ j.9 m/s 113).
Justeru perang Yarmūk telah berlaku pada tahun ke-13 Hijrah di akhir zaman pemerintahan Saiyyidina Abu Bakr r.a. Ini bererti `Ali bin Rabāĥ meninggal dunia ketika berumur 104 tahun.
Daripada keterangan adz-Dzahabi di atas dapat dilihat dengan jelas di mana tempat tinggal `Ali bin Rabāĥ. Perawi-perawi tempat ambilan hadits dari kalangan sahabat oleh beliau kebanyakannya memang tinggal di Mesir atau pernah menetap di sana, seperti`Amar bin al-`Aash, `Uqbah bin `Aamir, Fadhālah bin `Ubaid dan `Abdillah bin `Amar
bin al-`Aash.Di mana kebenaran hadits itu kalau salah seorang perawi utamanya yang tinggal di Mesir meninggal dunia ketika berumur 104 tahun. Adakah orang yang berumur 104 tahun boleh dikatakan pendek umurnya?!
(iii) Berhubung dengan Musa bin `Ali bin Rabāĥ pula adz-Dzahabi di dalam Siyar A`lām an-Nubalā’ menulis: “Musa bin `Ali bin Rabāĥ adalah perawi Kitab Sahih
Muslim dan empat Kitab Sunan yang utama. Beliau seorang imam, ĥāfizh, tsiqah, gabenor yang agung lagi adil di Mesir selama beberapa tahun bagi pihak Khalifah Abu
59
Usul dirayah hadis 0060
Ja`far al-Manshūr. Kuniahnya Abu `Abdir Rahman al-Lakhmi (maula mereka), dan beliau adalah orang Mesir.
Beliau banyak meriwayatkan hadits daripada ayahnya sendiri. Selain daripada ayahnya, beliau juga meriwayatkan hadits daripada Muhammad bin al-Munkadir, Ibnu Syihab
az-Zuhri, Yazid bin Abi Ĥabīb dan sekumpulan `ulama’ hadits yang lain.Antara orang yang meriwayatkan hadits daripada beliau pula ialah Usāmah bin Zaid al-Laitsi, Yahya bin Ayyub, al-Laits bin Sa`ad, Ibnu Lahī`ah, Ibnu Wahab, Ibnu al-Mubārak, Ibnu Mahdi, `Abdul Ĥamīd bin Ja`far, Sa`id bin `Abdir Rahman al-Jumaĥi, Wakī` dan lain-lain.
Abu Sa`id bin Yunus, Yahya bin Bukair, Khalifah bin Khayyāth, Abu `Ubaid dan sekumpulan `ulama’ berkata, Musa bin `Ali bin Rabāĥ meninggal dunia di Iskandariah
pada tahun 163 Hijrah. Ibu Ĥibbān berkata, “Beliau dilahirkan pada tahun 89 Hijrah.” Dikatakan, beliau menjadi gabenor di Mesir selama enam tahun dua bulan.” (Lihat
Siyar A`lām an-Nubalā’ j.13 m/s 458).
Sebelum ini telah pun dinukilkan kata-kata Abu Sa`id bin Yunus, salah seorang perawi hadits tersebut, bahawa: “Ini adalah hadits yang sangat mungkar. Allah memelihara
Abu `Abdir Rahman, Musa bin `Ali (bin Rabāĥ bin Qashīr al-Lakhmi) daripada meriwayatkan hadits seperti ini. Hanya Muthahhar bin al-Haitsam meriwayatkannya
daripada beliau, sedangkan Muthahhar itu seorang perawi matrūk al-ĥadīts.”
Kenapakah Abu Sa`id berkata, “Allah memelihara Abu `Abdir Rahman, Musa bin `Ali (bin Rabāĥ bin Qashīr al-Lakhmi) daripada meriwayatkan hadits seperti ini?”
Jawabnya ialah kerana bagi beliau tidak mungkin seorang tokoh sehebat Musa bin `Ali akan meriwayatkan hadits seperti itu. Daripada sekian ramai murid-muridnya pula
kenapa hanya Muthahhar bin al-Haitsam sahaja meriwayatkannya daripada beliau?
Jika seorang imam yang tsiqah lagi adil seperti Musa bin `Ali mengetahui hadits yang dikemukakan sebagai contoh ketiga di atas, tentu beliau tidak tinggal di Mesir. Apalagi
kalau beliau sendiri yang meriwayatkannya. Dan adakah seorang yang mati ketika berumur 74 tahun boleh dikatakan seorang yang pendek umurnya?!
Usul dirayah hadis 0061-0067 (usul 46)
Usul dirayah hadis 0061
Usul (46) Hadits-hadits yang menyatakan anak zina tidak akan masuk syurga, demikian juga anak cucunya, tidak ada satu pun yang sahih, bahkan semuanya maudhu`.
Demikian juga hadits-hadits yang menyatakan anak zina dicipta untuk neraka, semata-mata kerana ia anak zina, bukan kerana apa-apa dosa yang dilakukannya.
Sementara hadits-hadits yang menyatakan kehinaan dan kejelikan anak zina sama ada di dunia atau di akhirat, semata-mata kerana ia anak zina pula kebanyakannya adalah dha`if teruk atau maudhu`. Kalau ada pun satu atau dua hadits sahih yang zahirnya memang menunjukkan kehinaan dan kejelikannya, maka maksud sebenarnya bukanlah begitu (sebagaimana zahirnya).
Terdapat beberapa contoh yang boleh dikemukakan untuk usul ke-46 ini. Antaranya:
Contoh Pertama:
فَرْحُ الزِّنَا لا يَدْخل الَجنَّةَ
Bermaksud: Anak zina tidak akan masuk syurga.
Rujukan:
Ibnu `Adi - Al-Kāmil Fi Dhu`afā’ ar-Rijāl j.4 m/s 524, Ibnu al-Jauzi- al-Maudhu`aat j. 3 m/s 111, as-Suyuthi –
al-La’aali’u al-Mashnu`ah j.2 m/s 164, Ibnu `Arraaq al-Kinaani – Tanzih as-Syari`ah al-Marfu`ah j.2 m/s 228, ar-Rāfi`e – at-Tadwīn Fi Akhbāri Qazwīn
j.2 m/s 146, ad-Dāraquthni - `Ilal ad-Dāraquthni j.9 m/s 101, adz-Dzahabi – Mīzān al-I`tidāl j.3 m/s 340, Ibnu al-Jauzi- al-`Ilal al-Mutanaahiyah j.2 m/s 769.
Komentar:
(1) Sanad Ibnu `Adi bagi hadits contoh pertama itu di dalam al-Kāmil Fi Dhu`afā’ ar-Rijāl adalah seperti berikut:
َحدَّثَنَا حمزة بن داود الثقفي ، َحدَّثَنا ُم َحمد بن زنبور ، َحدَّثَنا َعبد العزيز بن أبي حازم عن سهيل بيعن أبيه ، َعن أهريرة ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم
(2) Ramai `ulama’ meletakkan kesalahan hadits contoh pertama itu di atas pundak Suhail. Ibnu `Adi berkata, “Hadits ini diketahui dengan sebab Suhail.” Ibnu al-Jauzi
61
Usul dirayah hadis 0062
berkata, “Hadits ini maudhu`. Suhail bin (Abi) Shaleh as-Sammān, kata Yahya (bin Ma`īn) mengenainya, “Haditsnya bukan hujah.” Abu Haatim pula berkata, “Boleh
ditulis haditsnya, tetapi tidak boleh dijadikan hujah.”
(3) Di bawah biografi Suhail bin Abi Shaleh Dzakwān as-Sammān, setelah mengemukakan pandangan orang-orang yang menta`dilkannya, Imam adz-Dzahabi
juga mengemukakan pandangan orang-orang yang mentajrīĥkannya.
Apa yang jelas daripada keterangan adz-Dzahabi ialah Suhail tidak diterima Bukhari sebagai perawinya di dalam Sahih Bukhari. Imam Muslim walaupun memasukkan
banyak juga hadits Suhail, tetapi kebanyakannya hanyalah sebagai riwayat-riwayat syawahid. Imam Malik pula menerima hadits-hadits daripada Suhail sebelum
fikirannya bercelaru.
Antara sebab kenapa fikiran Suhail kemudiannya bercelaru menurut `Ali bin al-Madīni ialah kematian salah seorang saudaranya. Kerana terlalu sedih atas kematiannya, fikiran
Suhail jadi bercelaru dan banyaklah hadits yang dia terlupa. (Lihat Mizaanu al-I`tidaal j.2 m/s 243-244).
(4) Manurut para `ulama’ hadits, bukan Suhail sahaja perawi yang bermasalah di dalam sanad hadits tersebut. Muhammad bin Zumbūr juga perawi bermasalah. Dia seorang perawi yang lemah. Riwayatnya yang bercanggah dengan riwayat perawi tsiqāt tidak boleh diterima. Ĥamzah bin Daud ats-Tsaqafi pula bukan seorang perawi yang dikenali (majhūl) para `ulama’ Rijāl.
(5) Menurut Ibnu al-Jauzi, hadits itu selain bermasalah di sudut sanadnya, matannya juga bercanggah dengan beberapa prinsip (keadilan) agama Islam yang termaktub di dalam al-Qur’an. Yang paling besar daripadanya ialah firman Allah:وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰۚ
Bermaksud: …dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); … (al-An`ām:164).
Di sini Imam Ibnu al-Jauzi telah mengguna pakai usul dirayah hadits (lihat Usul Dirayah ke-10 di dalam buku ini) untuk menolak hadits contoh pertama yang
62
Al-An'am 6:164
قُلْ أَغَيْرَ ٱللَّهِ أَبْغِى رَبًّا وَهُوَ رَبُّ كُلِّ شَىْءٍۚ وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَاۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Katakanlah (Muhammad), “Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi segala sesuatu. Setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang bertanggung jawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitahukan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan.”
Usul dirayah hadis 0063
dikemukakan di atas. Beliau malah menegaskan, hadits itu tidak sahih dan maudhu` kerana bercanggah dengan firman Allah yang mengandungi prinsip keadilan Islam yang terpakai bukan sahaja di dunia bahkan sampai ke akhirat.
(6) Hadits yang dikemukakan sebagai contoh pertama itu juga bercanggah dengan firman Allah yang tersebut di dalam ayat yang sama, sebelum sedikit daripada potongan
ayat yang disebutkan oleh Ibnu al-Jauzi tadi, iaitu:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَاۚ
Bermaksud: …Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; …(al-An`ām:164).
(7) Saiyyidatuna `Aaishah juga berdalil dengan firman Allah yang sama untukmembuktikan anak zina tidak menanggung apa-apa dosa kerana perzinaan yang
dilakukan oleh kedua ibu bapanya. Kata beliau:
ليس على ولد الزنا من وزر أبويه شيء[ ولا وازرة وزرا أخرى]
Bermaksud: Anak zina tidak menanggung sedikit pun daripada dosa kedua ibu bapanya.
(Allah berfirman, bermaksud) “Seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).” (al-An`ām:164).
(Atsar riwayat al-Haakim, al-Baihaqi dan `Abdur Razzaaq).
Contoh Kedua:
لا يدخل الجنة ولد الزنا ولده ولا ولد ولده
Bermaksud: Anak zina tidak akan masuk syurga, tidak (akan masuk juga) anaknya dan tidak juga anak bagi anaknya.
Rujukan:
Abu Nu`aim - Ĥilyatu al-Auliyā’ j.3 m/s 308, Ibnu al-Jauzi- al-Maudhu`aat j.3 m/s 110,
az-Zaila`i – Takhrīj Aĥādīts al-Kasysyāf j.4 m/s 76, as-Suyuthi – al-La’aali’u al-
Mashnu`ah j.2 m/s 164, ad-Dailami – al-Firdaus j.5 m/s 108, Ibnu `Arraaq al-Kinaani
– Tanzih as-Syari`ah al-Marfu`ah j.2 m/s 228),
63
Usul dirayah hadis 0064
Komentar:
(1) Sanad riwayat Abu Nu`aim di dalam Ĥilyatu al-Auliyā’ adalah seperti berikut:
ْعبدالله حنيف ثنا يوسف أسباط عن أبي إسرائيل الملائي إسماعيل بن(أبي) إسحاق عن فضيل ابن عن مجاهد عن ابن عمر عن أبي هريرة قال قال رسوالله صلى الله عليه وسلم
(2) Dengan sanad Abu Nu`aim itu juga Ibnu al-Jauzi mengemukakan hadits contoh kedua di dalam kitabnya al-Maudhū`āt. Ibnu al-Jauzi mengatakan punca penyakitnya ialah Abu Isra’il. Ia merupakan paksi (madaar) bagi hadits itu. Kata Yahya, “Ashĥāb al-hadits tidak mahu menulis haditsnya. Tirmidzi dan ad-Daaraquthni mengatakan ia
dha`if.”
(3) Ibnu al-Jauzi juga menyebutkan bahawa di dalam sanad hadits itu terdapat idhthirāb yang teruk pada Mujahid. Ada ketikanya Mujahid dikatakan telah meriwayatkannya
terus daripada Abi Hurairah. Di dalam sesetengah sanad pula tersebut Mujahid telah menerimanya daripada Abu Hurairah dengan perantaraan Ibn `Amar seperti yang
tersebut di dalam riwayat Abu Nu`aim di atas.
Di dalam sesetengah sanad pula tersebut Mujahid telah menerimanya dengan perantaraan Abi Sa`id. Ada ketika pula Mujahid dikatakan telah meriwayatkannya
dengan perantaraan Muhammad bin `Abdir Rahman seperti tersebut di dalam riwayat yang akan dikemukakan pada poin (4) nanti. Kadang-kadang pula ia diriwayatkan
secara mauqūf sahaja. Semua ini menunjukkan kecelaruan perawi-perawinya.
(4) Terdapat satu lagi saluran riwayat daripada Abu Hurairah. Matannya agak berbeza daripada matan hadits contoh kedua. Bagaimanapun ternyata ia lebih dahsyat daripada hadits contoh kedua itu. Di bawah ini dikemukakan riwayat berkenaan lengkap dengan
sanadnya sebagaimana dikemukakan oleh Ibnu al-Jauzi di dalam al-Maudhū`āt:
أنبأنا عبد االول أنبأنا الداوودى أنبأنا ابن أعين السرخسى حدثنا إبراهيم بن خزيم حدثنا عبد بن حميد حدثنا عبدالرحمن بن سعد الرازي حدثنا عمر بن أبى قيس عن إبراهيم بن مهاجر عن محمد بن عبدالرحمن بن أبى ذئاب
لَى َسْبعَة آبَاءَوَال َش ْيء من نَ ْسله إلجنَّة ولد زنا عن أبى هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم:
لا يدْخل الجنة ولد زنا ولا شيء من نسله إلى سبعة آباء
Bermaksud: Anak zina tidak akan masuk syurga. Tidak akan masuk syurga juga tujuh keturunannya.
64
Usul dirayah hadis 0065
Setelah mengemukakannya Ibnu al-Jauzi menulis, “Di dalam sanadnya ada Ibrahim bin Muhajir. Bukhari dan an-Nasā’i mengatakan ia dha`if. Apa dosa anak zina itu sehingga ia (dan tujuh keturunannya) terhalang daripada memasuki syurga?! Hadits-hadits itu pula menyalahi prinsip-prinsip agama Islam. Yang paling besarnya ialah ia menyalahi
firman Allah:وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰۚ
Bermaksud: …dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); … (al-An`ām:164).”
Di dalam Mizan al-I`tidāl, Imam adz-Dzahabi menukilkan bahawa Imam Bukhari mengatakan ia (Ibrahim bin Muhajir) munkarul hadits. Sementara Yahya bin Sa`id pula
dinukilkan telah berkata, ia (Ibrahim bin Muhajir) tidak kuat.
(5) Ibnu `Arrāq di dalam Tanzīh Asy-Syarī`ah al-Marfū`ah berkata, “Ad-Daaraquthni dan Abu Nu`aim mengatakan hadits di atas ma`lūl kerana Idhthirāb tersebut.”
(6) Abu Bakar al-Jasshāsh berkata di dalam kitabnya Aĥkām al-Qur’an begini: “Ini semua termasuk dalam hadits-hadits Abu Hurairah yang tidak diterima kerana ia
menyalahi usul. Seperti apa yang diriwayatkan daripada beliau bahawa ولد الزنا شر الثلاثة (anak zina adalah yang paling teruk antara tiga orang, itu dia sendiri dan kedua ibu dan bapanya) ,ولد الزنا لا يدخل الجنة (anak zina tidak akan masuk syurga) لا وضوء لمن لم يذكر اسم الله عليه
(tiada wudhu’ bagi orang yang tidak menyebut nama Allah ketika hendak berwudhu’), dan hadits من غسل ميتا فليغتسل ومن حمله فليتوضأ(sesiapa memandikan mayat , dia hendaklah mandi, dan sesiapa menanggungnya, dia hendaklah berwudhu’).
Semua hadits-hadits ini syadz (ganjil). Para fuqaha’ bersepakat ttg tidak harus dipakai zahirnya. (Lihat Aĥkām al-Qur’an j.3 m/s 404).
(7) Kenapa hukuman terhadap anak zina yang tidak bersalah itu begitu teruk, sehingga tujuh keturunannya tdk akan dapat masuk syurga, adakah walaupun mereka beriman dan mentaati Allah sepanjang hayat? Hukuman berat seperti itu hairannya tidak pula tersebut dikenakan ke atas ibu bapanya yang memang telah melakukan dosa perzinaan!
Contoh Ketiga:
65
Usul dirayah hadis 0066
يحشر أولا الزنا في صورة والخنازير
Bermaksud: Anak-anak zina akan dibangkitkan (di Maĥsyar) dalam rupa kera-kera dan babi-babi.
Rujukan:
Al-`Uqaili – Kitab ad-Dhu`afā’ al-Kabīr j.2 m/s 75, Hafizh Ibnu Hajar – Lisān al-Mīzān j.3 m/s 560-561, as-Suyuthi – al-La’aali’u al-Mashnu`ah j.2 m/s 162-163, Hafizh Ibnu
Hajar – al-Mathālib al-`Aaliah j.9 m/s 41, al-Būshīri – Itĥāf al-Khiyarati al-Maharah j.8 m/s 160, as-Syaukaani- al-Fawaa’idu al-Majmu`ah m/s 204.
Komentar:
(1) Ĥāfizh Ibnu Ĥajar mengemukakan sanad bagi hadits contoh ketiga di atas melalui saluran Abu Bakar (Ibnu Abi Syaibah) seperti berikut:
وقال أبو بكر حدثنل أسود بن عامر ثنا حماد بن سلمة عن على بن زيد عن (زيد)ابن عياض عن عيسى عن عبدالله بن عمرو بن العص رضىالله عنهما عن النبي صلى عليه وسلم قال
(2) Di dalam Itĥāf al-Khiyarati al-Maharah pula setelah mengemukakan hadits tersebut, Ĥāfizh Ibnu Ĥajar mengomentarinya dengan berkata, “Abu Bakar Ibnu Abi Syaibah meriwayatkannya dengan sanad yang dha`if disebabkan kedha`ifan `Ali bin Zaid bin Jud`ān (salah seorang perawinya).”`Ali bin Zaid bin Jud`ān menurut para `ulama’ Rijāl seperti Ahmad, Yahya dan lain-lain adalah seorang perawi yang langsung tidak bernilai (ليس بشيء “.)
(3) Al-`Uqaili, as-Suyuthi dan lain-lain pula mengemukakan hadits yang sama mafhumnya dengan hadits yang dikemukakan sebagai contoh ketiga di atas, walaupun
lafaznya berbeza. Bahagian atas sanadnya sama sahaja dengan sanad Abu Bakar Ibnu Abi Syaibah yang dikemukakan oleh Hafizh Ibnu Hajar tadi. Di bawah ini dikemukakan hadits yang dimaksudkan itu dengan sanad al-`Uqaili bersama-sama terjemahannya:
حدثنا عِلي بن عبد العزيز ، قال : َحدَّثَنا عارم ، قال : َحدَّثَنا أحمد بن سلمة عن علي بن زيد عن زيد بن عياض عن عيسى بن حطان الرقاشي عن َعبد هللا بن عمرو أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال أولاد الزنا يحشرون يوم
القيامة في صورة القردة والخنازير.
66
Usul dirayah hadis 0067
Bermaksud: rasulullah s.a.w. bersabda, “Anak-anak zina akan dibangkitkan pada hari kiamat (nanti) dalam rupa kera-kera dan babi-babi.
(4) Di dalam Lisān al-Mīzān Ĥāfizh Ibnu Ĥajar berkata bahawa di dalam sanadnya juga ada perawi bernama Zaid bin `Iyādh al-Bashri. Ayyub as-Sakhtiyāni telah
mempertikaikan (mentajrīĥkan) perawi ini.
(5) As-Suyuthi setelah mengemukakan hadits itu berkata, “(Ia) Maudhu`”. Al-`Uqaili pula berkata, “Ia tidak maĥfūzh melalui saluran sanad yang tsabit (sahih atau hasan).
Zaid bin `Iyādh telah dipertikaikan (ditajrīĥkan) oleh Ayyub as-Sakhtiyāni.”
(6) `Isa bin Ĥitthān ar-Raqāsyi (salah seorang perawi di dalam kedua-dua sanad hadits di atas), walaupun Ibnu Hibbaan menyebutnya sebagai perawi tsiqah, namun Ibnu
`Abdil Barr mengatakan ia bukan orang yang haditsnya boleh dijadikan hujah.
(7) Bukan as-Suyuthi sahaja menghukum hadits itu sebagai maudhu`, as-Saghāni, asy-Syaukāni, Muhammad Thāhir bin `Ali al-Hindi juga menghukumnya sebagai maudhu`.
Ibnu al-Jauzi bahkan menghukumnya dengan berkata, “Ini adalah hadits maudhu`, langsung tiada asalnya.”
(8) Dari sudut dirayah, hadits contoh ketiga ini juga seperti hadits-hadits contoh pertama dan kedua dihukum sebagai maudhu` kerana menyalahi firman Allah di dalam al-Qur’an dan menyalahi prinsip keadilan Islam yang berkekalan dari dunia hingga ke akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan