Isnin, Julai 25, 2022

Sahih bukhari kitab azan 10/7/22(5)

Sahih bukhari kitab azan 10/7/22(5)
¹⁴⁰⁵ at-Tamīmi al-Yarbū'i al-Kūfi. Yunus adalah datuk Ahmad, bukan ayahnya. Ahmad dikaitkan dengan datuknya Yunus, kerana beliau lebih terkenal begitu. 'Abdullah adalah nama sebenar ayahnya.

¹⁴⁰⁶ Sakit Rasulullah s.a.w. di akhir hayatnya telah bermula pada hari Rabu dalam giliran isterinya Maimunah, ia berterusan selama 13 hari, dan berakhir dengan kewafatan Baginda pada hari Isnin di rumah 'Aaishah pada giliran beliau sendiri. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. mulai mengalami sakit berat pada hari Khamis, empat hari sebelum kewafatan Baginda.

¹⁴⁰⁷ Pingsan adalah suatu yang harus (boleh) berlaku kepada para nabi a.s. Kerana ia seperti tidur sahaja. Imam an-Nawawi pula berkata, kerana ia satu bentuk penyakit jua. Berbeza dengan gila. Gila tidak harus (boleh) berlaku kepada mereka, kerana ia adalah suatu kekurangan.
Akal seseorang yang pingsan tidak hilang terus, ia hanya menjadi lemah sahaja. Berbeza keadaannya pada orang gila, kerana ia langsung hilang daripadanya. Hadits `Aaishah ini menyatakan sebanyak tiga kali Nabi s.a.w. telah jatuh pingsan pada malam itu.

¹⁴⁰⁸ Di sini mungkin timbul satu kemusykilan bahawa setelah diperintah oleh Rasulullah s.a.w. supaya mengimami orang ramai, kenapa Saiyyiduna Abu Bakar masih berkata kepada 'Umar  (engkaulah jadi imam kepada orang ramai)? Bukankah itu semacam menolak atau tidak menurut perintah Baginda??
Para 'ulama' telah memberi beberapa jawapan untuk merungkai kemusykilan itu, antaranya:
(1) Oleh kerana Abu Bakar seorang yang lembut hatinya sebagaimana disebutkan oleh 'Aaishah sendiri di dalam hadits ini dan juga hadits-hadits yang lain, beliau merasakan tidak mampu memimpin orang ramai bershalat. Riwayat Malik daripada Hisyam daripada ayahnya pula menyebutkan dengan lafaz yang lebih jelas:
قَالَتْ عَائِشَةُ فُلْتُ إِنِّ أَبَا بَكْرٍ إِذَا  قَامَ فِي مَقَامِكَ لَمْ يُسْمِعْ النَّاسَ مِنْ الب؟كَاءِ فَمُرّ عُمَرَ فَلٌيُصَلِّ لِلنَّاسِ
Maksudnya:Kata 'Aaishah, aku pun berkata: “Sesungguhnya Abu Bakar,kalau berdiri di tempatmu akan menangis sehingga tidak akan memperdengarkan bacaannya kepada orang ramai. Oleh itu, suruhlah 'Umar, biar dia yang mengimami orang ramai.”
(2)Perintah Rasulullah s.a.w.kepada Abu Bakar untuk imamah shugra telah difahami Abu Bakar sebagai petanda dan isyarat dari pihak Baginda untuk imamah kubra sepeninggalannya.Abu Bakar sebenarnya bimbang kalau-kalau beliau tidak dapat melaksanakan kedua-dua amanah itu sebaik mungkin.
(3) Abu Bakar tidak memahami perintah Rasulullah s.a.w. supaya beliau menjadi imam shalat itu sebagai perintah yang wajib, perintah itu difahaminya hanya sebagai penghormatan untuk dirinya semata-mata. Maksud asal perintah itu ialah supaya ada orang yang berkelayakan menjadi imam kepada orang ramai sahaja, dan bagi beliau 'Umar juga layak untuk menjadi imam kepada sahabat-sahabat yang lain.

¹⁴⁰⁹ Kata-kata `Umar ini jelas menunjukkan Abu Bakarlah orang yang paling layak dan paling berhak menggantikan Rasulullah s.a.w., baik dalam memimpin shalat berjama'ah (imamah shughra) atau dalam memimpin umat dan negara (imamah kubra).

¹⁴¹⁰ Ia bermula pada hari Khamis dan berterusan hingga ke hari Isnin. Menurut asy-Syafi', kecuali satu sahaja sembahyang pada hari-hari itu, iaitu sembahyang Zhuhur seperti tersebut di dalam hadits 687 ini. Ia dimulai oleh Abu Bakar juga, tetapi Rasulullah s.a.w. datang menyambung shalatnya hingga ke akhir sambil duduk. Sebanyak 17 shalat fardhu di masjid Nabi s.a.w. telah diimami Abu Bakar pada hari-hari Baginda mengalami sakit yang berat itu.

¹⁴¹¹ Hadits ini jelas menunjukkan Abu Bakar selepas kehadhiran Rasulullah s.a.w. telah menjadi ma'mum. Para ma'mum yang lain hanya mengikut pergerakan Abu Bakar sahaja. Ini kerana orang-orang yang berda dalam saf-saf yang jauh di belakang tidak nampak pergerakan Rasulullah s.a.w. yang bersembahyang sambil duduk itu. Abu Bakar juga telah bertindak sebagai “mukabbir” iaitu seorang yang mengeraskan suaranya bertakbir dalam shalat berjama'ah untuk mema'lumkan kepada para ma'mum yang lain tentang takbir-takbir intiqālāt (perpindahan dari satu rukun kepada rukun yang lain) imam. Tugas itu diperlukan kerana suara Rasulullah s.a.w. dalam shalat itu sangat perlahan. Ia tidak dapat didengar oleh para ma'mum yang berada jauh di belakang.

¹⁴¹² Antara pengajaran, panduan, pedoman dan hukum-hakam yang dapat diambil daripada hadits ini ialah:
(1) Di dalam hadits ini terdapat dalil yang menunjukkan pelantikan seseorang sebagai pengganti imam ratib(استخلاف) ketika ia sakit lebih aula (lebih utama) daripada ia terus menjadi imam dalam keadaan bersembahyang sambil duduk. Ini kerana Rasulullah s.a.w. sendiri telah melantik Abu Bakar sebagai penggantinya ketika Baginda sakit teruk. Baginda mengimami mereka dalam keadaan duduk hanya sekali sahaja.
(2) Orang yang uzur kerana sakit teruk dan sebagainya boleh menjadi imam dalam keadaan duduk kepada orang-orang sihat yang bersembahyang sambil berdiri. Shalat mereka sah menurut padangan jumhur `'ulama'.
(3) Ada hadits memansukhkan hukum yang terdapat di dalam hadits yang lain. Sesetengah `ulama' seperti al-Ĥumaidi, Qādhi `Iyādh dan lain-lain berpendapat hadits 'Aaishah ini memansukhkan hadits-hadits yang memerintahkan para ma'mum agar mengikut imam pada segala perbuatannya, seperti hadits 688 dan 689. Jika imam bersembahyang sambil duduk kerana sesuatu keuzuran, ma'mum juga harus duduk walaupun ia mampu berdiri. Jadi hadits 687 dianggap mereka sebagai nāsikh, hadits 688 dan 689 pula dianggap mereka sebagai mansukh.
(4) Nabi s.a.w. sangat prihatin terhadap shalat berjama'`ah. Buktinya ialah setiap kali sedar dari pingsannya Baginda bertanya, “Apakah orang-orang sudah bershalat?”Ini menunjukkan bahawa shalat berjama'ah benar-benar merupakan perkara penting di sisi Baginda.
(5) Seseorang yang merasakan badannya lesu,elok sekali mandi. Kerana mandi dapat menyegarkan badannya.
(6) Orang yang sedar dari pingsan elok sekali mandi, kerana mandi dapat menyegarkan badannya. Antara alasan bagi hukum ini ialah Nabi shaltallahu Alaihi wa sallam mandi setiap kali sedar dari pingsannya.
(7) Jama'ah shalat dikehendaki menunggu imam ratib. Tidak ada orang boleh tampil ke hadapan dengan sewenang-wenang untuk menjadi imam kecuali ia telah mendapatkan izin imam ratib. Dalam keadaan imam terlewat dari waktu biasanya, tetapi ia telah pun mengizinkan kepada seseorang untuk menjadi imam jika ia terlambat, maka bolehlah orang itu mengimami shalat. Dalam keadaan imam ratib tidak mengizinkan kepada sesiapa pun untuk menggantikannya, tetapi tidaklah ia
tidak suka kalau ada orang lain menggantikannya, boleh juga salah seorang yang hadhir menjadi imam. Sebab tidak ada kemudharatan apa pun dalam hal itu.

(8) Tdk boleh sesiapa pun bermudah-mudah menggantikan imam ratib. Tindakan yang seharusnya diambil oleh jama`ah apabila imam terlewat sedikit daripada kebiasaannya ialah mengutus seseorang untuk mengingatkannya tentang shalat. Hal ini dilakukan bila imam itu tinggal tidak jauh dari masjid.
Dalilnya ialah pada ketika Nabi s.a.w.terlambat menghadiri shalat Isya, para shahabat mengutus seseorang untuk memberitahu Baginda tentangnya.
Dalam keadaan tempat tinggal imam jauh dari masjid dan sukar bagi jama'ah menunggunya pula, boleh saja mereka mengerjakan shalat dengan diimami oleh orang lain.

(9) Orang yang diberi mandat untuk melakukan sesuatu perkara boleh menyerahkan mandat itu kepada orang lain. Antara buktinya ialah ucapan Abu Bakar kepada `Umar, “Wahai 'Umar, engkaulah jadi imam kepada orang ramai.” Tetapi ia tidak dibenarkan kecuali dalam tiga keadaan berikut:
(i) Mandat itu termasuk dalam perkara yang tidak biasa dilakukannya.
(ii)Mandat yang diterima tidak memberatkan atau menyulitkannya.
(iii) Walaupun orang yang diberi mandat memiliki kemampuan untuk melaksanakannya dan ia boleh mengerjakannya sendiri, namun yang memberi mandat mengizinkan kepadanya untuk mewakilkan kepada orang lain, atau yang diberi mandat mengetahui bahawa yang memberi mandat memang menerima hal itu, maka dalam keadaan ini ia boleh mewakilkannya kepada orang lain. Tetapi, jika urusan itu termasuk dalam perkara yang dapat menimbulkan hasil yang berbeda, maka tidak boleh diwakilkan kecuali kepada orang yang setara dengannya atau yang lebih baik daripadanya.


(10) Persaksian Umar r.a. bahawa Abu Bakar lebih berhak menjadi imam bukanlah semata-mata kerana Rasulullah s.a.w.telah memberikan mandat kepadanya, malah kerana kelebihan dan keutamaannya yang diketahui dan diakui 'Umar sendiri.

(11) Orang yang sedang merawat orang sakit dibenarkan untuk terlambat menghadiri shalat berjama'ah. Dalilnya ialah al-Abbas dan Ali bin Abi Thalib r.a. tidak diperintahkan Nabis.a.w. untuk melaksanakan shalat berjama`ah bersama kaum muslimin lainnya.

(12) Orang sakit diperbolehkan meminta bantuan kepada orang lain dalam perkara ibadah. Dalilnya ialah Rasulullah s.a.w. meminta bantuan al-Abbas dan 'Ali untuk mendudukkannya di dalam masjid. Rasulullah s.a.w. bahkan telah menyuruh dengan berkata kepada mereka berdua:(Dudukkanlah aku di sebelahnya).

(13) Salah seorang daripada ma'mum atau (dalam keadaan yang memerlukan) beberapa orang daripada mereka dibenarkan menjadi “mukabbir" atau orang yang menyampaikan takbir imam jika suara imam tidak terdengar oleh ma'mum yang ramai di belakang. Dalilnya ialah Rasulullah s.a.w. bertakbir, lalu Abu Bakar mengangkat suaranya bertakbir mengiringi Baginda, dan ma'mum pula bertakbir berpandukan takbir Abu Bakar r.a.
Dalam dunia hari ini “mukabbir” nampaknya tidak diperlukan lagi, kerana pembesar suara dapat mengambil alih tempatnya dengan lebih baik untuk menyampaikan suara imam.

(14) Hadits ini menolak pendapat sesetengah pihak yang mengatakan imam tidak boleh mengeraskan suara bertakbir kecuali takbiratul ihram sahaja. Dalilnya ialah Rasulullah s.a.w. membiarkan Abu Bakar mengeraskan suara bertakbir padahal ia menjadi ma'mum. Andaikata itu tidak disyariatkan, sudah pasti Baginda tidak membiarkannya. Maka pendapat yang benar mengenai imam mengeraskan suara bertakbir selain takbiratul ihram, paling tidak hukumnya adalah sunnah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan