Jumaat, Julai 22, 2022

Sahih bukhari kitab azan 9/7/22(1)

Sahih bukhari kitab azan 9/7/22(1)
٥٠-باب إِذَا زَارَ الإِمَامُ قَومًا فَأَمَّهُمْ: 
50- Bab: Apabila Imam (Ketua Negeri/negara) Mengunjungi Sesuatu Kaum,Maka Dia (Boleh) Mengimami (Shalat) Mereka,¹³⁹⁷

______________
¹³⁹⁷ Para `'ulama' terbahagi kepada empat kumpulan dalam menentukan maksud Imam Bukhari mengadakan bab ini:

(1) Maksudnya ialah menyatakan bahawa hadits-hadits yang melarang pengunjung menjadi imam di tempat yang dikunjunginya tidak mutlaq, ia hanya khusus dengan pengunjung yang tidak diizinkan sahaja. Pengunjung yang dibenar dan diizinkan pula boleh saja menjadi imam. Di bawah ini dikemukakan dua hadits yang melarang itu bersama terjemahannya. Yang pertamanya diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairits. Kata beliau, Rasulullah s.a.w.bersabda:
 مَنْ زَارَ قَوْمًا فَلَا يَؤُمَّهُمْ وَلْيَؤُمَّهُمْ رَجُلٌ مِنْهُمْ
Bermaksud:Barang siapa mengunjungi sesuatu kaum, maka janganlah ia mengimami (shalat) mereka, sebaliknya hendaklah salah seorang dari mereka (sendiri) mengimami (shalat) mereka. 
(Hadits riwayat Tirmidzi, Ahmad, Abu Daud, Ibnu Abi Syaibah, at-Thabaraani dan al-Baihaqi).

Dan yang keduanya diriwayatkan daripada Abi Mas'ud al-Anshaari. Beliau juga meriwayatkan daripada Nabi s.a.w. bahawa Baginda bersabda:
 يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي الْقِرَاءَةِ سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا وَلَا يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ فِي سُلْطَانِهِ وَلَا يَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ عَلَى تَكْرِمَتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ
Bermaksud: Hendaklah orang yang paling elok bacaan al-Qur'annya menjadi imam orang ramai. Jika mereka sama dalam keelokan bacaan al-Qur'an, maka yang lebih alim antara mereka tentang Sunnah. Jika mereka sama dalam kealimannya tentang sunnah, maka yang lebih dahulu berhijrah. Jika mereka sama dalam berhijrah, maka yang lebih dahulu memeluk Islam. Jangan sekali-kali seseorang menjadi imam kepada yang lain dalam wilayah kekuasaannya dan jangan (juga) ia duduk di tempat khusus bagi seseorang di rumahnya tanpa izinnya.” 
(Hadits riwayat Muslim, Ahmad,Ibnu huzaimah, Ibnu Hibbaan, Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain).

Antara tokoh hadits yang termasuk dalam kumpulan pertama ini ialah Shah Waliyyullah, Maulana Rashid Ahmad al-Ganggohi dan Maulana Muhammad Yahya -Kandhlawi (ayahanda Syeikh Zakariya) r.a.

(2) Hafizh Ibnu Hajar, Syeikh Zakariya dan kebanyakan pensyarah Sahih al-Bukhari berpendapat, imam agung (raja, khalifah atau presiden) atau pemimpin dan ketua sebuah negeri sahaja dikecualikan daripada larangan tersebut. Mereka bahkan tidak perlu pun mendapat keizinan daripada imam setempat atau penduduk sesuatu wilayah bawah kekuasaannya. Meminta izin kepada imam setempat paling tinggi pun nyalah sesuatu yang elok (mustaĥab) sahaja, dan ia dilakukan oleh Rasulullah .w. sebagaimana tersebut di dalam hadits ke-686 itu sebagai beradab semata-mata.

(3) Hafiz al-'Aini dan orang-orang yang sependapat dengannya pula berpendapat, imam agung (raja, khalifah atau presiden) atau pemimpin dan ketua sesebuah negeri juga tidak terkecuali daripada larangan tersebut. Semuanya perlu mendapat keizinan imam setempat dan persetujuan penduduk sesuatu wilayah. Itulah maksud Imam Bukhari mengadakan bab ini. Walaupun Bukhari tidak menyatakannya dengan jelas, tetapi hadits yang dikemukakan di bawah bab ini jelas menunjukkan hukumnya. Tiada manusia atau pemimpin yang lebih utama daripada Nabi s.a.w. Walaupun begitu Baginda tetap meminta izin kepada 'Itbān yang merupakan tuan rumah yang dikunjunginya. Bukankah perbuatan Baginda itu menunjukkan tiada siapa pun terkecuali daripada larangan yang tersebut di dalam hadits-hadits di atas?

(4) Dengan kebenaran imam setempat atau tuan rumah boleh saja sesiapa pun yang layak menjadi imam. Hanya Imam Ishaq bin Rahawaih sahaja tidak mengharuskan pengunjung mengimami shalat di tempat yang dikunjunginya, walaupun diizinkan oleh tuan rumah atau imam setempat.

Perhatian:
Tuan rumah atau imam masjid setempat terkecuali daripada darjat-darjat orang yang paling berhak menjadi imam yang tersebut di dalam hadits-hadits. Ia lebih berhak menjadi imam daripada pengunjung, walaupun pengunjung lebih alim atau lebih elok bacaan daripadanya. Kecualilah kalau ia sendiri mengizinkan kepada pengunjung untuk menjadi imam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan