Isnin, Oktober 17, 2022

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 16/10/22(3)

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 16/10/22(3)
⁵⁸³ Riwayat Nu`mān bin Rāsyid ini dikemukakan oleh Bukhari secara ta`liq. Ia dikemukakan secara maushūl oleh al-Baihaqi di dalam Dalā’il an-Nubuwwah. 
Maksudnya ialah fitnah dan tuduhan dusta terhadap `Aaishah yang tersebar itu telah berlaku sekembalinya mereka dari Ghazwah Muraisī`.Ghazwah Muraisī` berlaku disebabkan Rasulullah s.a.w. telah mendapat tahu bahawa 
ketua Banu al-Mushthaliq iaitu al-Ĥārits bin Abi Dhirār sedang mengumpulkan bala tentera untuk menyerang orang-orang Islam. Rasulullah s.a.w. bertindak pantas dengan menghantar sahabatnya Buraidah bin al-Ĥushaib al-Aslami untuk menyelidiki keadaan sebenarnya. Setelah diselidikinya, ternyata benar apa yang sampai ke pengetahuan baginda itu. Memang mereka sedang bersiap sedia untuk menyerang. Tanpa berlengah-lengah lagi Rasulullah s.a.w. terus keluar bersama sekumpulan besar para sahabatnya untuk menyerang mereka sebelum mereka datang menyerang Madinah. Peristiwa ini menurut Ibnu Sa`ad telah berlaku pada hari Isnin 2  hari bulan Sya`ban tahun ke-5 Hijrah.
Ketika pasukan tentera Islam sampai, mereka sedang leka memberi minum kepada binatang-binatang ternakan. Mereka tidak dapat bertahan menghadapi serangan 
Rasulullah s.a.w. yang datang secara mengejut itu, lalu menyerah kalah. Akibatnya dua ratus keluarga telah ditawan, dua ribu ekor unta dan lima ribu ekor kambing biri-biri telah diperolehi sebagai ghanimah. Dan kira-kira sepuluh orang tentera mereka terbunuh. 
Antara yang tertawan dan diperolehi sebagai ghanimah pada hari itu ialah anak perempuan ketua kaum itu bernama Juwairiah binti al-Ĥārits. Dia kemudiannya 
tersenarai sebagai salah seorang ibu orang-orang mu’min setelah dikahwini Rasulullah s.a.w.
Di peringkat permulaan pembahagian, Juwairiah termasuk dalam bahagian seorang sahabat yang bernama Syammās bin Qais. Lalu beberapa orang sahabat berfikir bahawa
Juwairiah adalah anak ketua Banu al-Mushthaliq, dia hanya layak untuk Rasulullah s.a.w. Tidak sewajarnya dia diberikan kepada orang-orang lain. 
Menurut sesetengah riwayat, Syammās bin Qais telah pun menjadikan Juwairiah sebagai hamba mukatabah. Juwairiah sendiri yang hadhir ke hadapan Rasulullah s.a.w. dan menceritakan bahawa dia anak al-Ĥārits ketua Bani al-Mushthaliq. Kehadhirannya di hadapan Rasulullah s.a.w. adalah untuk mendapat pertolongan dan bantuan baginda demi melunaskan wang mukatabah untuk pembebasannya.
Maka Nabi s.a.w. mengemukakan satu cadangan terbaik untuknya iaitu aku akan melunaskan wang mukatabahmu, kemudian menjadikanmu sebagai isteriku. Mendengar 
cadangan Rasulullah s.a.w. itu Juwairiah gembira sekali dan terus menyatakan persetujuannya. Akhirnya, setelah Juwairiah merdeka, baginda s.a.w. mengahwininya 
sebagaimana dijanjikan. Al-Ĥārits bin Abi Dhirār, ayah Juwairiah, kemudiannya datang ke Madinah dengan
membawa banyak sekali unta untuk memerdekakan anaknya. Dalam banyak-banyak unta yang dibawanya ada dua ekor unta yang sangat istimewa. Semuanya akan diberikan untuk membebaskan anaknya Juwairiah. Ketika dalam perjalanan, niatnya berubah. Dia telah menyembunyikan dua ekor unta istimewanya di salah satu lembah. Unta-unta lain sahaja dibawanya. Setelah menghadap Rasulullah s.a.w. dan mengemukakan hajatnya, Rasulullah s.a.w. bertanya, di mana dua ekor unta lagi yang kamu sembunyikan di lembah itu? mendengar pertanyaan Nabi s.a.w. itu al-Ĥārits terus bersyahadah, “Aku 
bersaksi bahawa engkau memang utusan Allah”. Tiada siapa pun tahu tentang dua ekor unta itu. Tentu sekali Allah telah memberitahumu menerusi wahyu. Itulah latar belakang bagi islamnya Al-Ĥārits bin Abi Dhirār, ketua Bani al-Mushthaliq.
Kemudian Rasulullah s.a.w. memberi peluang kepadanya untuk bertanya anak perempuannya sendiri, jika dia bersetuju untuk pulang bersamamu, maka tidak ada apa-
apa halangan terhadapnya. 
Setelah al-Ĥārits bertanya anaknya Juwairiah, Juwairiah dengan terus terang memilih Allah dan RasulNya. Al-Ĥārits sendiri setelah memeluk agama Islam tidak seperti dahulu 
lagi, dia berasa amat bangga dan gembira jika anaknya memilih Rasulullah s.a.w. sebagai suami, dan dengan itu baginda menjadi menantunya.
`Aaishah berkata, “Tidak pernah aku melihat seorang wanita yang lebih banyak membawa keberkatan kepada kaumnya daripada Juwairiah.” Sebabnya ialah setelah
beliau dikahwini Rasulullah s.a.w., dua ratus keluarga Bani al-Mushthaliq yang ditawan dalam peperangan dan dijadikan hamba abdi semuanya dimerdekakan oleh sekalian sahabat, semata-mata atas alasan mereka adalah keluarga isteri Rasulullah s.a.w.
Zaid bin Ĥāritsah dilantik oleh Rasulullah s.a.w. sebagai penggantinya untuk menjaga Madinah semasa baginda keluar untuk peperangan ini. Daripada isteri-isteri Rasulullahs.a.w. pula yang keluar bersama baginda dalam peperangan tersebut ialah Saiyyidatuna 
`Aaishah dan Saiyyidatuna Ummu Salamah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan