Isnin, Oktober 03, 2022

Sahih Bukhari Kitab Maghazi sesi 005 02/10/22s4

Sahih Bukhari Kitab Maghazi  02/10/22(4)
² Perkataan ghazwah(غَزْوَة) atau ghazaah (غَزَاة) dipakai oleh ulama-ulama Sirah dengan erti pasukan tentera yang diikuti dan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sendiri untuk menghadapi musuh. Sama ada berlaku peperangan atau tidak dengan mereka. Namun begitu, ia bukanlah merupakan suatu kaedah tetap, kerana peperangan Mu'tah dan Bi'ri Ma'unah juga disebut sesetengah ulama Sirah sebagai Ghazwah Mu'tah dan ghazwah Bi'ri Ma'unah. Padahal kedua-duanya hanyalah sariyyah. Kerana Nabi s.a.w. tidak ikut serta dalam peperangan itu dan Baginda s.a.w. tidak secara langsung memimpinnya. Sariyyah (سرية ) dan saraaya (سرايا) pula menurut mereka ialah pasukan tentera yang diutus Rasulullah s.a.w. untuk menghadapi musuh Islam. Sama ada berlaku peperangan atau tidak dengan mereka. Baginda s.a.w. tidak turut serta dalam pasukan itu. Sariyyah hanya melibatkan pasukan para sahabat yang dipimpin oleh seorang amir (panglima) yang dilantik Baginda s.a.w. sahaja. Ba'ats (بعث) pula adalah pasukan kecil yang diutus Rasulullah s.a.w. untuk mengajar agama kepada sesuatu kelompok masyarakat, mengintip musuh, berunding dengan pihak musuh atau pihak-pihak yang lain demi kebaikan dankeselamatan negara. Antara Ba'ats yang pernah diutus Rasulullah s.a.w. ialah Ba'ats ar-Rajii'. Berdasarkan satu riwayat Bukhari daripada Abi Hurairah, Ba'ats ar-Rajii' ini disebutnya sebagai sariyyah juga. Spesifikasi seperti tersebut ini tidak ada dalam perhitungan Bukhari. Kerana itulah saariyah juga .Spesifikasi seperti tersebut ini tidak ada dalam perhitungan Bukhari. Kerana itu beliau menyebutkan juga di bawah Kitab al-Maghaazi ini tentang saraaya dan bu'uts yangdiutuskan oleh Rasulullah s.a.w.

Para ulama hadits dan sirah berbeda pendapat tentang bilangan ghazwah Rasulullah s.a.w.

Berikut dikemukakan hasil perbedaan pendapat mereka itu:(1) Musa bin 'Uqbah, Ibnu Sa'ad. Ibnu Ishaq, al-Waaqidi, Abu Masyar, Ibnu al-Jauzi. ad-Dimyaathi dan lain-lain berpendapat, bilangan ghazwah Nabi s.a.w.adalah 27 semuanya. Demikian kata al-Qasthallaani. Antara alasan mereka ialah hadits Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh at-Thabari ini:
حدثني .......الخندق
Bermaksud: At-Thabari dengan isnadnya meriwayatkan daripada Muhammad bin Tsabital-Anshaari, katanya:“Ibnu 'Umar pernah ditanya, berapa kalikah Rasulullah s.a.w. telah berperang?" Jawab beliau:“Dua puluh tujuh kali.” Ibnu 'Umar ditanya lagi, berapa kalikah engkau berperang bersama Baginda s.a.w.?” Jawab beliau:“Dua puluh satu kali. Yang pertamanya ialah (perang) Khandaq. Saya terlepas enam peperangan (ghazawaat). Padahal saya hendak sangat ikut serta dalam peperangan-peperangan itu. Setiap kali saya dikemukakan kepada Baginda, Baginda tidak mahu menerima saya. Baginda s.a.w. baru membenarkan saya ikut berperang dalam peperangan Khandaq(ahzab ).” 
(At-Thabari, Tarikh al-Umam wa al-Muluk j.2 m/s 207).

Riwayat ini tidak layak dijadikan sandaran kerana kedha`ifannya. Kedha`ifannya terletak pada kedua-dua tempat, matan dan sanad. Kelemahan pada matan ialah kerana ia bercanggah dengan riwayat yang lebih sahih daripadanya. Kelemahan pada sanadnya pula terletak pada salah seorang perawi yang dha'`if di dalam isnadnya. Perawi itu tidak lain dan tidak bukan ialah Muhammad bin`Umar al-Waaqidi sendiri. Al-Waaqidi itu bukan sekadar dha`if pada pandangan para ulama, malah sesetengah mereka menganggapnya seorang pendusta.

- Muhamad bin Umar=Waqidi

(2) Sa`id bin al-Musaiyyab berpendapat 18 atau 24. Pendapat Sa'id ini dinukilkan oleh 'Abdur Razzaaq di dalam Mushannafnya dengan sanad yang sahih.Lihat teksnya ini:
عبد الرزاق....بعد ذلك
Bermaksud: Zuhri meriwayatkan, katanya: “Sa'id bin al-Musaiyyab berkata: “Rasulullah s.a.w. telah ikut serta dalam lapan belas peperangan.”Kata Zuhri (lagi): Pada kali yang lain aku mendengar beliau (Sa`id bin al-Musaiyyab) berkata: “dua puluh empat peperangan.” Aku tidak pasti adakah beliau telah terkeliru (waham) atau itu adalah sesuatu yang didengarinya kemudian.”


(3) Mafhum hadits Jaabir bin `Abdillah yang diriwayatkan dengan isnad yang sahih oleh Muslim, Ahmad, Abu Ya`la, Abu `Awaanah dan lain-lain menunjukkan bahawa, bilangan ghazwah Nabi s.a.w. adalah 21. 
Lihatlah haditsnya ini: 
حدثنا.....غزوة قط
Bermaksud: Kata Jaabir bin`Abdillah: “Aku ikut berperang bersama Nabi s.a.w. dalam sembilan belas peperangan.”

Kata Jaabir (lagi): “Aku tidak ikut dalam perang Badar dan Uhud kerana dihalang oleh ayahku.” Kata beliau (seterusnya) : “Setelah `Abdullah (ayah Jaabir) terbunuh dalam peperangan Uhud, tidak lagi aku tidak ikut bersama Rasulullah s.a.w. dalam mana-mana peperangan sekalipun.” Kalau Jaabir telah ikut berperang bersama Nabi s.a.w. dalam sembilan belas peperangan, tetapi beliau tidak ikut dalam perang Badar dan Uhud, bukankah ia bererti kalau dicampur dengan perang Badar dan Uhud, niscaya ghazwah Baginda s.a.w.akan jadi 21 semuanya?

(4) Berdasarkan riwayat Bukhari di bawah bab ini, Zaid bin Arqam apabila ditanya.berapakah bilangan ghazwah yang dilancarkan oleh Rasulullah s.a.w.? Jawab beliau: “Sembilanbelas.” Demikian juga kata Buraidah dan al-Baraa' bin `Aazib r.a. Muslim dan Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan hadits Buraidah yang menyebutkan ghazwah Rasulullah s.a.w. sebanyak 19 itu dengan terang. Begini teksnya:
وحدثنا..... ثمان منهن
Bermaksud: Buraidah meriwayatkan, katanya: “Rasulullah telah ikut serta dalam sembilan belas peperangan. Baginda s.a.w. terlibat secara langsung dalam lapan peperangan daripada sembilan belas peperangan itu.” 

Teks riwayat Ibnu Abi Syaibah di dalam Mushannafnya berhubung dengan keterangan al-Baraa' tentang bilangan peperangan yang diceburi Rasulullah s.a.w. adalah seperti berikut:
حدثنا ّ.....غزوة  
Bermaksud:Al-Baraa' bin `Aazib meriwayatkan bahawa, “Rasulullah s.a.w. telah ikut serta dalam sembilanbelas peperangan.” Bagi penulis, riwayat Jaabir di dalam 

(3) dan riwayat sahabat-sahabat lainyang tersebut di dalam

(4) tadi, dapat dijama` dengan mudah sekali. Dengan itu kedua-duanya boleh diterima sebagai benar dan tidak ada percanggahan di antara kedua-duanya itu sebenarnya.

(5) Muhammad bin Jarir at-Thabari di dalam Tarikhnya menyebutkan bilangan ghazwah Nabi s.a.w.adalah 26. Kata beliau:
وكانت......وعشرين
Bermaksud: Peperangan (ghazawaat) yang diikuti Rasulullah s.a.w. sendiri 26. Sesetengah ahli sirah berpendapat 27. Orang yang mengatakan 26, mengira ghazwah Khaibar dan ghazwah Wadi al-Qura sebagai satu (ghazwah). Sebabnya ialah Rasulullah s.a.w. belum lagi pulang ke rumah setelah selesai perang Khaibar. Malah sebaik saja selesai perang Khaibar, Beliau s.a.w.terus pergi ke Wadi al-Qura. Itulah sebabnya kedua-dua perang itu dikira satu. Orang yang mengatakan 27 pula mengira perang Khaibar dan Wadi al-Qura secara berasingan. 
(Lihat Tarikh al-Umam Waal-Muluk, j. 2, m/s 94). Selepas itu Ibnu Jarir mengemukakan satu riwayat dengan isnadnyadaripada Ibnu Ishaq. Riwayat itu menyebutkan satu per satu ghazwah merangkumi 27 ghazwah kesemuanya. Lihat teksnya di bawah ini:
حدثنا....والطائف
Bermaksud:“Peperangan (ghazawaat) yang dikuti Rasulullah s.a.w. sendiri 26 semuanya. 

Ghazwah pertama Baginda ialah 
(1) Waddaan. Itulah juga ghazwah Abwaa'. 
(2) Ghazwah Buwaath di sebelah Radhwa.
(3) Ghazwah 'Usyairah di Yanbu'.
(4) Ghazwah Badar pertama. di mana Baginda mengejar Kurz bin Jaabir.
(5) Ghazwah Badar besar, di mana terbunuh dan tertawannya sekian ramai pahlawan dan bangsawan Quraisy.
(6) Ghazwah Bani Sulaim.Dalam ghazwah ini Baginda s.a.w.pergi sampai ke Kudr.
(7) Ghazwah as-Sawiq.Dalam ghazwah ini Nabi s.a.w.pergi sampaike Qarqarah al-Kudr untuk mencari Abu Sufyan.
(8) Ghazwah Ghathafaan. Ia juga dikenali dengan Ghazwah Zi Amir.
(9)Ghazwah Bahraan.Sebuah tambang di Hijaz.(10)Ghazwah Uhud.
(11)Ghazwah Hamraa' al-Asad.
(12) Ghazwah Bani an-Nadhir.
(13) Ghazwah Zati ar-Riqaa' diNakhl.
(14) Ghazwah Badar terakhir. 
(15) Ghazwah Dumatu al-Jandal.
(16) Ghazwah al-Khandaq.
(17)Ghazwah Bani Quraidzah.
(18) Ghazwah Bani Lihyaan.
(19) Ghazwah Zi Qarad.
(20) Ghazwah Bani al-Mushthaliq.
(21) Ghazwah Hudaibiyah. Nabi s.a.w. tidak bermaksud berperang dalam ghazwah ini. Apa yang berlaku ialah orang-orang musyrikin Mekah telahmenghalang Baginda daripada pergi ke Mekah. 
(22) Ghazwah Khaibar.
(23)'Umratu al-Qadhaa'.
(24)Ghazwah pembukaan Mekah.
(25) Ghazwah Hunain.
(26) Ghazwah Tha'if. 
(27)GhazwahTabuk.(ibid). 

Rasulullah s.a.w.telah terlibat secara langsung dalam sembilan peperangan sahajadaripada 27 peperangan itu. Sembilan peperangan yang dimaksudkan ialah 
(1) Badar.
(2) Uhud.
(3) Khandaq. 
(4) Quraidzah.
(5) Mushthaliq. 
(6)Khaibar.
(7) Fathi Makkah.
(8)Hunain dan
(9)Tha'if.” 

Riwayat ini juga dijadikan asas oleh orang-orang yang mengatakan bilangan ghazawaat Nabi s.a.w. adalah 27. Ia masyhur di kalangan ahli sirah dan dianggap sahih atau paling sahih oleh sesetengah ulama. Padahal ia jelas bercanggah dengan riwayat Bukhari di bawah bab ini dan banyak lagi riwayat-riwayat sahih yang lain.Selain bercanggah dengan riwayat Bukhari dan riwayat-riwayat sahih yang lain, ia tidak lebih daripada satu riwayat mursal.

Di dalam rantaian sanadnya pula terdapat perawi-perawi seperti (Muhammad) Ibnu Humaid, Salamah dan Ibnu Ishaq yang dipertikaikan oleh sekian ramai tokoh-tokoh rijal hadits. Untuk perbandingan lihat juga riwayat Ibnu Ishaq melalui isnad Ibnu Hisyam di bawah ini:
قال حدثنا.....والطائف
Isnad riwayat Ibnu Hisyam ini juga mursal dan tidak sunyi daripada perawi-perawi yang dipertikaikan oleh ulama-ulama rijal hadits. 
(Sila lihat latar belakang perawi-perawi dua riwayat di atas dan apa pula kata para ulama rijal tentang mereka di dalam buku penulis -Ibnu Ishaq). 

Riwayat Ibnu Ishaq, sama ada yang dikemukakan oleh at-Thabari atau Ibnu Hisyam menyebutkan, Rasulullah s.a.w. telah terlibat secara langsung dalam sembilan peperangan daripada 27 peperangan yang disebut beliau. Padahal riwayat al-Baraa' yang telah dikemukakan oleh Muslim dan Ibnu Abi Syaibah menyebutkan, Rasulullah s.a.w.hanya terlibat secara langsung dalam lapan peperangan sahaja daripada sembilan belas peperangan yang disertai Baginda.Lapan peperangan yang dimaksudkan itu, berdasarkan riwayat sahih daripada Buraidah yang dikemukakan oleh al-Baghawi di dalam Syarah as-Sunnahnya dan al-Baihaqi di dalam Dalaa'il an-Nubuwwahnya adalah seperti berikut:
(1)Badar.
(2)Uhud.
(3) Ahzaab.
(4)Al-Muraisii'.
(5)Qudaid.
(6) Khaibar. 
(7) Fathi Makkah dan 
(8) Hunain.


Para ulama sirah dan hadits juga berbeza pendapat tentang bilangan saraaya dan bu'uts Nabi s.a.w. Berikut dikemukakan hasil perbedaan pendapat mereka itu: 
(1) Ibnu Ishaq dan Ibnu Hisyam berpendapat, bilangan saraaya semua sekali adalah 38. Selain 38, riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq ada juga menyebutkan bilangan 36, seperti dinukilkan oleh Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fathu al-Baarinya dan 35 seperti diriwayatkan oleh at-Thabari di dalamTarikhnya.
(2) Bilangan saraaya yang disebut Ibnu Sa'ad di dalam at-Thabaqaat al-Kubranya adalah 47. 
(3) Menurut al-Waaqidi bilangannya adalah 48. 
(4) Ibnu al-Jauzi di dalam Talqihnya menyebut sebanyak 56. (5) Menurut al-Mas`'udi pula, bilangannya adalah 60. 
(6) Muhammad binNashr al-Marwazi menyebutkan lebih 70 saraaya. 
(7) Al-Haakim di dalam al-Iklilnya pula menyebutkan saraaya itu lebih seratus adanya. Menurut Hafiz Ibnu Hajar, orang-orang yang menyebut saraaya dengan agak banyak itu boleh jadi mencampuradukkannya dengan ghazawaat dan juga bu'uts yang dihantar Nabi s.a.w. 
(8) Imam Ahmad dengan sanadnya meriwayatkan daripada Qataadah bahawa bilangan ghazawaat Nabi s.a.w. adalah sembilan belas (19) semuanya.

Bilangan saraaya pula adalah dua puluh empat (24). Jumlah kedua-duanya adalah 43. Daripada sembilan belas ghazwah itu, Rasulullah s.a.w. hanya terlibat secara langsung dalam lapanpeperangan sahaja. Lapan ghazwah yang dimaksudkan ialah:
(1) Badar. 
(2) Uhud. 
(3) Ahzaab.
(4)Al-Muraisii'. 
(5) Khaibar. 
(6) Fathi Makkah 
(7) Hunain dan 
(8) Thaa'if. 
(Lihat Ibnu Katsir. As-Siratu an-Nabawiyyah, j.2 m/s 354).

Bagi penulis, riwayat-riwayat seperti inilah seharusnya dijadikan pegangan. Kerana ia berdasarkan hadits-hadits yang sahih.

Para ulama juga berbeda pendapat tentang perang yang dilancarkan oleh Rasulullah s.a.w. setelah turunnya ayat jihad yang pertama ini:

Al-Hajj 22:39  أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَٰتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا۟ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ 
Bermaksud: diizinkan (berperang) kepada orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka(mencapai kemenangan). (al-Haj:39). 

Adakah ia berupa ghazwah atau sariyyah? Kebanyakan ahli Sirah dan ahli al-Hadits berpendapat, ia bermula dengan sariyyah. Inilah pendapat Ibnu Sa`ad, al-Waqidi, Ibnu al-Qaiyyim, Hafiz Ibnu Hajar dan lain-lain. Tertib sariyyah menurut Musa bin 'Uqbah, Abu Ma`syar, al-Waaqidi, Hafiz Ibnu al-Qaiyyim, Ibnu Sa`ad, al-Qasthallaani, az-Zarqaani dan kebanyakan ulama hadits dan sirah adalah seperti berikut: 
(1) Sariyyah Hamzah bin`Abdil Mutthalib. Dikenali juga dengan sariyyah Sif al-Bahr. 
(2) Sariyyah `Ubaidah bin al-Haarits. la dikenali juga dengan sariyyah Raabigh. 
(3) Sariyyah Sa'ad bi Abi Waqqaash. Ia dikenali juga dengan sariyyah Kharraar. Ketiga-tiga sariyyah ini menurut mereka telah berlaku pada tahun pertama hijrah. Ibnu Ishaq berpendapat, ketiga-tiga sariyyah ini berlaku pada tahun kedua hijrah selepas ghazwah Abwaa'. Itulah tertib yang dipilih Ibnu Hisyam. Di dalam Sirahnya, Ibnu Hisyam mula-mula sekali menyebutkan ghazwah Waddaan (nama kedua bagi ghazwah Abwaa'). Kemudian sariyyah `Ubaidah bin al-Haarits. Seterusnya sariyyah Hamzah bin `Abdil Mutthalib, diikuti sariyyah Sa'ad bin Abi Waqqaash. Ini bererti menurut Ibnu Ishaq dan Ibnu Hisyam,sariyyah `Ubaidah bin al-Haarits adalah sariyyah yang pertama.

Sariyyah Hamzah bin `Abdil Mutthalib menurut kebanyakan ulama, telah dilancarkan oleh Rasulullah s.a.w. pada bulan Ramadhan tahun pertama hijrah bersamaan bulan Mac tahun 623M, setelah tujuh bulan Baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah. Ia merupakan satu pasukan yang terdiri daripada tiga puluh orang tentera dari kalangan Muhajirin sahaja. Rasulullah s.a.w. telah melantik Hamzah sebagai amirnya dan memerintahkan mereka pergi ke Sif al-Bahr untuk mengekori dan mengganggu-gugat rombongan dagang kaum Quraisy yang sedang dalam perjalanan pulang dari Syam. Rombongan dagang yang dikawal tiga ratus orang pasukan berkuda itu dipimpin oleh Abu Jahal. Setelah kedua-dua pasukan nampak satu sama lain dan masing-masing telah bersedia bertempur, tiba-tiba Majdi bin 'Amar al-Juhani, seorang pemimpin qabilah Juhainah yang telah menjadi sekutu damai kepada kedua-dua pasukan, tampil meleraikan mereka. Maka tidak berlakulah sebarang pertempuran dalam peristiwa itu. Bendera jihad yang diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Hamzah untuk mengepalai pasukan ini adalah yang pertama seumpamanya dalam sejarah Islam. Dan orang yang dipertanggungjawabkan menjulang bendera tersebut dalam sariyyah ini ialah Abu Martsad Kannaaz bin Hushain al-Ghanawi.

Pada bulan Syawwal tahun yang sama, bersamaan bulan April tahun 623M, Nabi s.a.w.melancarkan pula satu pasukan yang terdiri daripada enam puluh atau lapan puluh orang tentera dari kalangan Muhajirin di bawah pimpinan `Ubaidah bin al-Haarits ke Raabigh. Tujuannya juga adalah untuk mengekori qafilah dagang Quraisy. Dalam peristiwa ini juga kedua-dua pasukan hanya melihat kepada satu sama lain. Pertempuran tidak juga berlaku di antara mereka. Hanya beberapa anak panah sahaja telah dilepaskan oleh kedua-dua kumpulan. Sa`ad bin Abi Waqqaash telah melepaskan satu anak panah ke arah mereka. Itulah anak panah pertama yang dilepaskan oleh pasukan tentera Islam ke arah pasukan musuh dalam sejarah. Ahli Sirah berbeza pendapat tentang ketua Qafilah dagang Quraisy pada kali ini, sama ada ia dipimpin oleh Abu Sufyan,`Ikrimah bin Abu Jahal atau Mikraz bin Hafash bin al-Akhyaf. Abu Sufyan dan 'Ikrimah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Sementara Mikraz bin Hafash pula tidak ada tokoh ulama yang menyebutnya sebagai sahabat Nabi s.a.w. selain daripada Ibnu Hibbaan di dalam Kitab ats-Tsiqaatnya. Itu pun disebutnya dengan shighah tamridh sahaja. Kata beliau,   يقال له صحبة  (kata orang dia sahabat). Miqdaad bin `Amar al-Bahraani (juga dikenali dengan Miqdaad bin al-Aswad) dan `Utbah bin Ghazwaan al-Maazini (pembuka kota Bashrah kemudiannya) yang telah memeluk agama Islam, tetapi tidak dapat berhijrah ke Madinah, kerana dihalang oleh orang-orang kafir Mekah juga telah ikut serta dalam qafilah dagang Quraisy itu. Tujuan mereka berdua sebenarnya tidak lain melainkan untuk meloloskan diri dari qafilah itu dan menggabungkan diri ke dalam pasukan para sahabat Nabi s.a.w. apabila terdapat peluang untuk berbuat begitu. Ketika pasukan dagang Quraisy sibuk menghadapi sariyyah yang dihantarkan oleh Rasulullah s.a.w. itulah mereka berdua secara senyap-senyap berjaya meloloskan diri dari cengkaman mereka. Orang yang dipertanggungjawabkan menjulang bendera dalam sariyyah ini ialah Misthah bin Utsaatsah bin al-Mutthalib bin `Abdi Manaaf.

Pada bulan Zulqa'dah tahun yang sama, bersamaan bulan Mei tahun 623M, Nabi s.a.w.melancarkan satu lagi pasukan yang terdiri daripada dua puluh orang tentera berkuda dari kalangan Muhajirin di bawah pimpinan Sa'ad bin Abi Waqqaash. Kali ini mereka dihantar ke Kharraar, suatu lembah berhampiran Juhfah. Baginda s.a.w. berpesan kepada mereka agar tidak pergi lebih jauh sehingga melepasi tempat itu. Tujuannya juga sama dengan tujuan sariyyah-sariyyah sebelumnya. Setelah lima hari dalam perjalanan sampailah mereka ke sana. Di dalam peristiwa ini juga tidak berlaku pertempuran dengan pihak musuh. Kerana pihak musuh rupa-rupanya telah pun melepasi kawasan itu sehari sebelum mereka sampai ke sana. Orang yang dipertanggungjawabkan menjulang bendera dalam sariyyah ini ialah Miqdaad bin `Amar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan