Rabu, Disember 14, 2022

Tafsir asas quran nota 9(286-301)18s 17vii(01)


Asas(usul) Tafsir  17vii (01)

Bantahan Golongan Ketiga Terhadap Dalil-Dalil Yang Dipegang Oleh Golongan Muta'kkhirin Yang Menerima Konsep Nasakh.

Terdapat tiga golongan ahli tafsir di kalangan para 'ulama'
ahli as-Sunnah Wa al-Jama'ah yang berbeda pandangan tentang konsep nasakh di dalam al-Qur'an.
Pertama ialah golongan mutaqaddimin.
Kedua ialah golongan muta'kkhirin. Dan
Ketiga ialah golongan معاصرين  atau 'ulama' yang kebanyakannya muncul di zaman mutakkhir.

Mereka ialah orang-orang yang tidak menerima langsung konsep nasakh yang diterima oleh golongan kedua atau golongan muta'kkhirin. Konsep nasakh yang diterima oleh golongan mutaqaddimin diterima juga oleh mereka secara 'amnya, cuma apa yang tidak diterima oleh mereka hanyalah konsep nasakh menurut istilah muta'akkhirin dan juga istilah nasakh di sisi golongan mutaqaddimin yang amat luas rangkumannya. Mereka hanyalah tidak menerima berlakunya nasakh di dalam al-Qur'an sahaja. Adapun dalam hadits-hadits Nabi, mereka juga seperti orang-orang
lain tetap menerima kewujudannya. Bahkan adanya nasakh dalam hadits-hadits merupakan suatu perkara yang diijma'kan di kalangan kaum muslimin tanpa kecuali
dari dahulu hingga sekarang. Sebelum ini telah pun dibincangkan tentang perbedaan konsep nasakh di antara
mutaqaddimin dan muta'kkhirin.

Orang-orang yang menerima konsep nasakh, baik dari kalangan mutaqaddimin mahupun muta'kkhirin berpegang dengan dalil-dalil tertentu. Ia dapat dibahagikan kepada dua bentuk.
Pertama, dalil-dalil naqli. Dan
Kedua, dalil-dalil 'Aqli.

Di dalam nota ke-12 yang lalu telah pun dikemukakan secara ringkas dalil-dalil naqli yang menjadi pegangan golongan yang menerima konsep nasakh itu. Ia terdiri daripada beberapa ayat al-Qur'an dan beberapa hadits
Rasulullah s.a.w.
Dalil pertama ialah firman Allah berikut:
Bermaksud: Ayat mana saja yang Kami nasakhkan, atau Kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, Kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding
dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu? (al-Baqarah: 106).

Al-Baqarah 2:106
مَا نَنسَخْ مِنْ ءَايَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَآ أَوْ مِثْلِهَآۗ أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Ayat yang Kami batalkan atau Kami hilangkan dari ingatan, pasti Kami ganti dengan yang lebih baik atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu tahu bahwa Allah Mahakuasa atas segala sesuatu?

Kata golongan kedua iaitu golongan muta'akkhirin, firman Allah ini menunjukkan adanya ayat al-Qur'an tertentu yang dimansukhkan. Maka tentulah ada pula naasikhnya. Allah sendiri mengatakan "Tidak ada satu pun ayat yang Kami nasakhkan atau Kami lupakan manusia terhadapnya melainkan Kami akan bawakan (ayat) yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya".

Ayat ini kata mereka menunjukkan beberapa perkara:
(a) Adanya ayat al-Qur'an yang dimansukhkan oleh Allah.
(b) Adanya ayat al-Qur'an yang Allah lupakan manusia terhadapnya.
(c) Apabila Allah menasakhkan sesuatu ayat al-Qur'an, ia pasti digantiNya dengan ayat yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya.
(d) Ayat Naasikh (yang memansukhkan) lebih baik daripada ayat mansukh atau setidak-tidaknya ia mesti sebanding dengannya.
Ayat 106 dari Surah al-Baqarah itu menurut mereka menunjukkan adanya ayat-ayat al-Qur'an yang mansukh hukum atau bacaannya, atau mansukh kedua-duanya sekali dan diganti dengan yang lebih baik daripadanya atau seumpamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan