Asas(usul)Tafsir 17viii (01)
Dalil Ketiga ialah firman Allah berikut:
Ar-Ra'd 13:39
يَمْحُوا۟ ٱللَّهُ مَا يَشَآءُ وَيُثْبِتُۖ وَعِندَهُۥٓ أُمُّ ٱلْكِتَٰبِ
Maksudnya: Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan disisiNyalah terdapat Ummul Kitab (Lauh mahfuzh).
(ar-Ra'd:39).
Sekali pandang tidak akan kelihatan di mana letaknya dalil tentang adanya hukum nasakh di dalam ayat ini. Tetapi golongan kedua tetap menjadikannya sebagai dalil. Kata mereka, itu dalil umum. Walaupun perkataan nasakh tidak tersebut di dalamnya, namun perkataan menghapuskan bukankah ada di situ? Nah itulah dalilnya! Menghapuskan ertinya bagi mereka ialah memansukhkan dan menetapkan pula bererti tidak memansukhkan. Sama ada ayat yang dimansukhkan atau tidak, semuanya ada di dalam Ummul-Kitab iaitu Lauh Mahfuz. Bukan ayat al-Qur'an sahaja yang dihapuskan dan ditetapkan oleh Allah, banyak lagi yang lain, tetapi menghapuskan dengan erti memansukhkan dan menetapkan dengan erti tidak memansukhkan ayat al-Qur'an adalah salah satu daripadanya. Kata mereka, oleh kerana di sini ada qarinah (petunjuk) yang menunjukkan bahawa yang dihapuskan dan ditetapkan oleh Allah ialah ayat alQur'an, maka itulah salah satu mafhumnya yang tidak harus diabaikan sama sekali, Qarinah yang dimaksudkan ialah ayat ke-38 sebelumnya. Ayat itulah yang menunjukkan perkataan menghapuskan seharusnya dipakai dengan erti memansukhkan dan menetapkan dipakai dengan erti tidak memansukhkan. Cuba lihat ayat ke-38 di bawah ini:
Ar-Ra'd 13:38
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَٰجًا وَذُرِّيَّةًۚ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِىَ بِـَٔايَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِۗ لِكُلِّ أَجَلٍ كِتَابٌ
Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa orang Rasul sebelummu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan. Dan tidak ada hak bagi seseorang Rasul mendatangkan sesuatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Bagi tiap-tiap masa ada perkara dan hukum (Ar Rad:38)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan