Asas(usul) Tafsir 17vii (06)
(f) Rangkai kata أوننسها (atau Kami melupakan manusia kepadanya) yang terdapat didalam ayat yang sama (ayat 106 Surah al-Baqarah) juga akan menimbulkan banyak
kemusykilan jika perkataan Kami "nasakhkan" yang tersebut sebelumnya dipakai dengan erti menasakhkan mana-mana ayat al-Qur'an, terutamanya ayat hukum!
Manusia manakah yang Allah lupakan ayat yang dikatakan telah mansukh itu? Kalau manusia yang dimaksudkan di situ ialah kita para umat, maka jelas sekali tidak benarnya. Kerana semua orang tahu dan ingat ayat yang dimansukhkan, seperti juga ayat yang memansukhkannya. Kalau tidak ingat bagaimana ia boleh disebutkan,
malah dibincangkan?! Jika dikatakan orang yang Allah lupakan dia terhadap ayat al-Quran yang dimansukhkan itu ialah Rasulullah s.a.w. sendiri sebagaimana yang
terdapat dalam sesetengah riwayat, maka ia juga jelas bercanggah dengan kenyataan. Kerana telah dikatakan Nabi s.a.w. sendirilah yang memberitahu tentang
kemansukhannya. Kalau baginda betul-betul telah terlupa, bagaimana baginda dapat menceritakan pula kepada para sahabat?! Selain itu ia juga bercanggah dengan firman
Allah yang memberi jaminan akan menjaga dan mengingatkan Nabi s.a.w. akan apa yang diwahyukan kepadanya! Lihat sebagai contohnya firman Allah berikut:
Al-Qiyamah 75:16لَا تُحَرِّكْ بِهِۦ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِۦٓ
Al-Qiyamah 75:17إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُۥ وَقُرْءَانَهُۥ
Al-Qiyamah 75:18فَإِذَا قَرَأْنَٰهُ فَٱتَّبِعْ قُرْءَانَهُۥ
Al-Qiyamah 75:19ثُمَّ إِنَّ عَلَيْنَا بَيَانَهُۥ
Bermaksud: Janganlah engkau (wahai Muhammad) Kerana hendakkan cepat menghafaz Quran yang diturunkan kepadamu menggerakkan lidahmu membacanya
(sebelum selesai dibacakan kepadamu). (16).
Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu); (17).
Oleh itu, apabila Kami telah menyempurnakan bacaannya (kepadamu,dengan perantaraan Jibril), maka bacalah menurut bacaannya itu; (18).
Kemudian,sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannya(yang memerlukan penjelasan). (19). (al-Qiyaamah: 16-19).
Jika anda memakainya dengan erti "Kami melupakan manusia terhadap mu'jizat yang pernah diberikan kepada mana-mana nabi terdahulu", maka dengan mudah saja ia
akan dapat difahami. Kerana sudah menjadi tabi'i manusia akan terlupa kepada sesuatu yang telah lampau pada masa lalu yang agak lama. Demikian juga kalau ia dipakai dengan erti "Kami menjadikan mu'jizat yang pernah diberikan kepada nabi terdahulu tidak begitu diperlukan kerana perubahan zaman yang telah berlaku. Manusia di zaman kemudian lebih memerlukan kepada mu'jizat lain sebagai gantinya. Dan sebaik-baik gantinya ialah al-quran, satu mu'jizat yang hidup dan akan terus kekal walaupun pembawanya sudah tiada nanti.
Dalil kedua mereka ialah firman Allah berikut:
An-Nahl 16:101
وَإِذَا بَدَّلْنَآ ءَايَةً مَّكَانَ ءَايَةٍۙ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا يُنَزِّلُ قَالُوٓا۟ إِنَّمَآ أَنتَ مُفْتَرٍۭۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Bermaksud: Dan apabila Kami tukarkan satu ayat menggantikan ayat yang lain dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan, - berkatalah mereka (yang kafir): Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang pendusta; (padahal Nabi Muhammad tidak berdusta) bahkan kebanyakan mereka tidakmengetahui hakikat yang sebenarnya. (an-Nahl:101).
Kata orang-orang yang menerima konsep nasakh ayat hukum di dalam al-Qur'an, ayat 101 Surah an-Nahl ini jelas menunjukkan adanya penukaran satu ayat dengan ayat
yang lain. Itulah sebenarnya yang dikatakan nasakh. Antara bukti yang menunjukkan perkataan آية yang tersebut di dalam ayat ini ialah ayat al-Qur'an, bukan mu'jizat atau
syari'at yang lalu ialah firman Allah di dalamnya bahawa:والله أعلم بما ينزل Bermaksud:"dan Allah memang mengetahui akan apa yang Dia turunkan". Tentulah apa yang diturunkan oleh Allah itu berupa ayat-ayat al-Qur'an, kerana ayat-ayat al-Qur'anlah yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Ayat seterusnya juga membuktikan apa yang diturunkan oleh Allah seperti tersebut didalam ayat 101 itu ialah ayat-ayat al-Qur'an. Lihat ayat berkenaan di bawah ini:
An-Nahl 16:102
قُلْ نَزَّلَهُۥ رُوحُ ٱلْقُدُسِ مِن رَّبِّكَ بِٱلْحَقِّ لِيُثَبِّتَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
Bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): "Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan al-Qur'an itu dari Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang
telah beriman, dan untuk menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang-orang Islam. (an-Nahl:102).
Bukankah Jibril menurunkan al-Qur'an dalam bentuk ayat-ayat kepada Rasulullah s.a.w.? Nah! Itulah bukti ayat yang ditukar oleh Allah sebagai ganti kepada ayat yang
lain itu bermaksud ayat al-Qur'an, bukan mu'jizat atau syari'at nabi-nabi dan rasul-rasul yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan