Asas(usul) Tafsir 18 (08)
Penyelewengan Tafsir Al-Qur'an Di Kalangan Umat Islam Moden.
Di zaman kita sekarang yang dikenali dengan zaman moden, tidak kurang juga berlaku penyelewengan al-Qur'an, Meskipun ia tidaklah sehebat zaman dahulu, tetapi tidak kurang juga bahayanya kepada umat. Oleh itu perlu juga diketahui sedikit sebanyak tentangnya.
Orang-orang yang terlibat dalam penyelewengan al-Qur'an di zaman ini mungkin disebut dengan nama-nama yang tidak pernah diketahui sejarawan Islam terdahulu, namun jika diteliti dengan saksama, niscaya dapat dikatakan bahawa mereka tetap mempunyai perkaitan daripada segi sikap dan cara berfikirnya dengan kelompok-kelompok terpesong yang pernah berlalu dalam sejarah, Cuma namanya sahaja yang berbeza.
Golongan naturalis, rasionalis dan modenis totok di zaman moden ini pada hakikatnya adalah golongan Mu'tazilah. Golongan Pluralis dan liberalis pula pada hakikat adalah golongan Murji'ah versi baharu. Walaupun pada beberapa sudut pemikiran mereka ada perbedaan, tetapi kerangka kasarnya tetap sama.
Walaupun golongan-golongan tersebut tidak pernah diketahui menghasilkan tafsir al- Qur'an yang 'lengkap dan dapat dijadikan sebagai rujukan, namun di sana sini ada tersebar juga aliran pemikiran itu atas nama tafsir al-Qur'an. la sebenarnya hanya melibatkan tafsiran beberapa ayat al- Qur'an sahaja.
Tafsiran Sir Syed Ahmad Khan (m.1315H bersamaan 1898M) yang boleh dianggap sebagai mewakili tafsiran golongan naturalis rasionalis dan liberalis sebagai terkandung di dalam tafsir al-Qur'annya yang juga dikenali dengan nama Tafsir Ahmadi. Tetapi ia adalah sebuah kitab tafsir yang tidak lengkap. Setelah dicetak tafsir itu diboikot oleh umat Islam benua kecil India. Kerana itulah nuskhahnya yang bercetak sukar sekali ditemui. Tidak ada pencetak yang berani dan bersedia mencetaknya. Selain itu, ia ditulis dalam bahasa Urdu. Oleh kerana kebanyakan umat Islam tidak mengerti bahasa itu, maka pemikirannya tidak tersebar dengan agak meluas.
Tafsir al-Qur'an hasil tulisan golongan ini dalam bahasa 'Arab juga tidak ada yang lengkap. Dr. Muhammad Husain az-Zahabi hanya dapat mengemukakan satu sahaja contoh tafsir mereka. Ia bernama "Al-Hidayah Wa al-lrfaan Fi Tafsir al-Qur'an Bi al-Qur'an”, hasil tulisan Muhammad Abu Zaid (lahir pada tahun 1309H). Ia adalah sebuah kitab tafsir yang sangat ringkas dan tidak sempurna (diterbitkan pada tahun 1348H bersamaan 193 IM). Walaupun begitu, tafsir tersebut telah mendapat tentangan yang hebat daripada sekian ramai 'ulama' 'Arab, khususnya 'ulama' alAzhar. Al-Azhar bahkan telah membentuk satu jawatankuasa khas untuk mengkaji kekarutan dan kecelaruan di dalamnya, dan kemudian mengkritiknya. Akibat daripada tindakan itu kitab tersebut juga dipulau oleh umat Islam 'Arab. Ia langsung tidak mendapat tempat dalam dunia tafsir yang diterima umat.
Nasibnya juga sama seperti nasib Tafsir Ahmadi oleh Sir Syed Ahmad Khan di India. Tiada pencetak yang sudi mencetaknya.
Nasib yang diterima oleh tafsir-tafsir yang menyeleweng seperti itu sebenarnya merupakan salah satu mukjizat al-Qur'an. Di mana tidak ada satu pun daripadanya yang dapat bertahan lama. Semuanya ditelan zaman. Dan dengan itu terpeliharalah al-Qur'an daripada segala pemesongan dan penyelewengan dalam apa bentuk sekali pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan