Asas(usul) Tafsir 18 (10)
(2) Muhammad Abu Zaid juga sama seperti Sir Syed Ahmad Khan. Dia juga tidak menerima adanya mu'jizat para rasul a.s. Semua ayat al-Qur'an yang menunjukkan mu'jizat mana-mana rasul dita'wilnya supaya tidak kelihatan sebagai mu'jizat. Ini kerana baginya, tidak mungkin al-Qur'an mengandungi sesuatu yang bercanggah dengan nature atau sunnatullah di alam semesta ini. Segala-galanya di alam ini berlaku secara natural. Sama ada kepada seorang biasa atau kepada seorang rasul. Dia juga seperti Sir Syed Ahmad Khan memakai perkataan pada firman Allah di dalam Surah asy-Syuaraa': dengan "pergi dan berjalanlah ke laut”. Dalam menta'wilkan ayat-ayat mukjizat, dia tidak peduli sama ada ta'wilannya itu bercangggah dengan hadits, qaedah bahasa 'Arab atau bercanggah dengan akal sekalipun.
Amat melucukan, kerana golongan yang dipanggil sebagai rasionalis itu rupa-rupanya banyak sekali melakukan perkara-perkara yang tidak rasional!!
Tafsirnya yang bernama "Al-Hidayah Wa al-'lrfaan Fi Tafsir al-Qur'an Bi al-Qur'an" seolah-olahnya ditulis untuk menta'wilkan ayat-ayat tentang mu'jizat para nabi dan rasul, kerana tidak ada satu pun ayat mukjizat melainkan dita'wilnya, walaupun dengan ta'wilan-ta'wilan yang jauh
dan lemah sekali. Selain itu banyak lagi penyelewengan dan pemesongan yang telah dilakukan Muhamad Abu Zaid di dalam tafsir tersebut.
Penulis akan mengemukakan beberapa sahaja daripadanya sebagai contoh .
Ketika menafsirkan firman Allah di bawah ini:
An-Naml 27:38
قَالَ يَٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَؤُا۟ أَيُّكُمْ يَأْتِينِى بِعَرْشِهَا قَبْلَ أَن يَأْتُونِى مُسْلِمِينَ
An-Naml 27:39
قَالَ عِفْرِيتٌ مِّنَ ٱلْجِنِّ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبْلَ أَن تَقُومَ مِن مَّقَامِكَۖ وَإِنِّى عَلَيْهِ لَقَوِىٌّ أَمِينٌ
An-Naml 27:40
قَالَ ٱلَّذِى عِندَهُۥ عِلْمٌ مِّنَ ٱلْكِتَٰبِ أَنَا۠ ءَاتِيكَ بِهِۦ قَبْلَ أَن يَرْتَدَّ إِلَيْكَ طَرْفُكَۚ فَلَمَّا رَءَاهُ مُسْتَقِرًّا عِندَهُۥ قَالَ هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّى لِيَبْلُوَنِىٓ ءَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُۖ وَمَن شَكَرَ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ رَبِّى غَنِىٌّ كَرِيمٌ
Maksudnya: Berkata Sulaiman: "Hai pembesar-pembesar. siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri?" (38)
Berkata 'İfrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu dan sesungguhnya aku amatlah kuat untuk membawanya, lagi amanah". (39)
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata! Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itü terletak di sisinya. berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itü hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya. lagi Maha Pemurah. (40).
Ayat-ayat di atas jelas menyatakan salah satu mukjizat kurniaan Allah kepada Nabi Sulaiman a.s. Tetapi lihat bagaimana Muhammad Abu Zaid mentakwilkan firman Allah itü di dalam tafsirnya. Kata beliau:
—Maksud بعرشها (singgahsananya) ialah بملكها (kerajaannya). Tujuan Baginda (Sulaiman a.s. berkata begitu) ialah untuk membuat perancangan dan strategi perang terhadap negara-negara yang akan dimasuki dan diserangnya. Kerana itu Baginda meminta peta yang ada di dalamnya kerajaan Saba', dengan tujuan kemudiannya peta negara-negara yang akan diserangnya ditunjukkan kepada pihak kerajaan-kerajaan yang berkenaan. Mesejnya ialah Baginda memang serius, tidak berolok-olok dalam menyerang negara-negara mereka .
Maksud عفريت من الجن ialah salah seorang panglima Baginda a.s. Kata-kata panglima itu jelas menunjukkan ia tidak faham bahawa misi Baginda a.s. itu melibatkan sains dan geografi. Dan ia memerlukan الذي عنده علم (orang yang pakar dalam bidang itu). Maksud ialah pengetahuan من الكتاب tentang tulis menulis, melukis dan merancang. Maksud قبل أن اليك طرفك ialah ia dapat membawanya terus. Memang pun ia terus mengemukakannya. Mungkin juga ia terus melukis peta yang dikehendaki. Atau mungkin juga peta itu memang sudah sedia ada padanya. Kalaulah fotografi sudah wujud pada ketika itu, maka bolehlah dikatakan ia terus membawa fotograf negara-negara berkenaan.
Akhirnya Nabi Sulaiman bersyukur kepada Allah kerana di dalam negaranya ada cendekiawan-cendekiawan dan orang-orang yang pakar dalam segala bidang.”
(Lihat Al-Hidayah Wa al-irfaan Fi Tafsir al-Qur'an Bi al-Qur'an m/s 298-299).
Lihatlah betapa dahsyatnya pemesongan yang telah dilakukan oleh Muhammad Abu Zaid terhadap ayat-ayat di atas. Dia telah memesongkan perkataan 'arasy daripada ma' na sebenarnya iaitu singgahsana kepada suatu makna lain yang langsung tidak ditunjuki perkataan itu. Ma'na yang diberikan untuk perkataan arasy olehnya ialah kerajaan Balqis, tetapi bukan kerajaan Balqis yang betul-betul dikehendaki Nabi Sulaiman a.s. Sebaliknya yang dikehendaki oleh Baginda ialah peta kerajaan Saba'. Perkataan عفريت من الجن bukan lagi bererti 'lfrit dari golongan jin. Tetapi ia bererti salah seorang panglima Baginda a.s. dari puak atau qabilah yang dinamakan ”Jin". Rupa-rupanya jin di situ baginya nama bagi satu qabilah manusia!
Pengarang tafsir itu langsung tidak mempedulikan siyaq (ayat selepas) dan sibaq (ayat sebelum) bagi ayat yang ditafsirkan. Dia juga tidak mempedulikan bahasa 'Arab al-Qur'an atau bahasa Arab umumnya. Adakah di dalam bahasa Arab mana sekalipun perkataan arasy itu dipakai dengan erti peta sesebuah negeri atau negara? Kalau begitu apa pula erti firman Allah di dalam ayat seterusnya? Sila lihat ayat seterusnya di bawah ini:
An-Naml 27:41
قَالَ نَكِّرُوا۟ لَهَا عَرْشَهَا نَنظُرْ أَتَهْتَدِىٓ أَمْ تَكُونُ مِنَ ٱلَّذِينَ لَا يَهْتَدُونَ
Bermaksud: Nabi Sulaiman berkata pula: 'Ubahlah (sedikit bentuk) singgasananya; nanti kita tengok apakah dia mengenali atau dia termasuk orang-orang yang tidak mengenali(nya),” (an-Naml:41)
Untuk apa Nabi Sulaiman menyuruh pembesar dan kakitangan kerajaannya mengubah peta yang telah dibuat dengan elok oleh seorang yang pakar di kalangan mereka? Bukankan menurut pengarang tafsir itu, peta tersebut sengaja dibuat untuk dihantar kepada kepala-kepala negara yang akan diserang oieh Nabi Sulaiman? Bagaimana Balqis akan mengetahui negaranyalah yang hendak diserang oleh Sulaiman kalau peta negaranya sudah diubah? Padahal pengarang tafsir itu telah berkata sebelum itu bahawa tujuan peta-peta dihantar ialah untuk menyatakan Nabi Sulaiman merangkap seorang raja benar-benar serius dan tidak berolok-olok dalam melaksanakan maksudnya menyerang negara-negara berkenaan? Bukankan dengan mengubah peta negara yang diperintah Balqis menampakkan Nabi Sulaiman tidak serius dan Baginda hanya berolok-olok dan bergurau sahaja dengannya?!
Dan kalaulah perkataan 'arasy di dalam ayat di atas sememangnya bererti peta yang dihantar kepada ketua-ketua negara yang akan diserang, kenapakah di dalam ayat seterusnya Allah berfirman begini pula?:
An-Naml 27:42
فَلَمَّا جَآءَتْ قِيلَ أَهَٰكَذَا عَرْشُكِۖ قَالَتْ كَأَنَّهُۥ هُوَۚ وَأُوتِينَا ٱلْعِلْمَ مِن قَبْلِهَا وَكُنَّا مُسْلِمِينَ
Bermaksud: Setelah dia (Ratu Balqis) datang, ditanyakanlah kepadanya: "Serupa inikah singgasanamu?" Dia menjawab: "Seakan-akan singgasana ini singgasanaku. Kami telah diberi pengetahuan sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri." (an-Naml:42).
Kenapa pula peta baru diberikan kepada Balqis setelah ia datang? Pertanyaan "Serupa inikah singgahsanamu?" akan bertukar menjadi "Serupa inikah peta negaramu?" Pertanyaan seperti itu kepada Balqis sama sekali tidak akan mengagumkannya, sebaliknya menampakkan kelemahan Nabi Sulaiman dan pegawai-pegawai kerajaannya yang tidak tahu membuat peta! Kerana peta telah diubah daripada bentuk sebenarnya!
Lihatlah juga bagaimana عفريت yang merupakan sejenis makhluk jin dita'wil dengan salah seorang panglima dan jin pula dipakai dengan erti satu qabilah manusia. Ini semua dilakukan kerana pengarang tafsir itu seperti Sir Syed Ahmad Khan juga sebenarnya tidak percaya kepada kewujudan makhluk halus seperti jin dan malaikat.
Aduh, sungguh melucukan! Kerana tidak mahu menerima adanya mu'jizat para nabi dan rasul sampai begitu sekali boleh hilang kewarasan manusia!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan