Jumaat, Disember 09, 2022

Tafsir asas quran nota 9(302)326-357s 20(5)

Asas(usul) quran  20(5)
Antara Para Pendukung Tafsir Saintifik
(1) Imam al-Ghazali (450-505 H)
Idea tafsir saintifik secara serius dikembangkan oleh al-Ghazali, beliau menghuraikan secara komprehensif alasan-alasannya dalam Ihya' ' Ulum ad-Din. Menurutnya al-Qur'an merupakan sumber ilmu pengetahuan yang tidak terbatas, Segala jenis ilmu yang terkandung di dalam alQur'an adalah bertujuan menerangkan kekuasaan Allah meliputi zatNya, perbuatanNya dan sifatNya. Ilmu ini pada asasnya tiada penghujungnya. Semakin dikaji semakin berkembang selaras dengan pengetahuan manusia. Justeru segala yang terkandung di dalam al-Quran adalah merupakan rumus (simbol) dan bukti-bukti serta petunjuk-petunjuk bagi keagungan Allah s.w.t. Al-Ghazali juga merupakan orang pertama yang mengutarakan perkara ini. Dalam kitab tersebut ia mengatakan bahawa semua bentuk pemahaman ilmuwan rasional dan perbedaan pendapat dalam hasil analisis dan hasil rasional, maka dalam al-Qur'an ada beberapa rumusan dan beberapa argumentasi tentangnya yang hanya diketahui oleh orang-orang tertentu. Bahkan dalam buku yang dikarangnya setelah Ihya' Ulum ad-Din iaitu kitab Jawahir al-Qur'an ia mengulang tema yang sama bahkan dengan lebih luas lagi pembahasannya.

(2) Imam Fakhruddin Ar-Raazi (m.606 H)
Di dalam tafsirnya Mafatih al-Ghaib yang juga dikenal dengan at-Tafsir al-Kabir, didapati pembahasan ilmiah berkaitan dengan segala bentuk ilmu pengetahuan, seperti falsafah, teologi, ilmu alam,  astronomi, kedoktoran, dan sebagainya.

Ar-Raazi sependapat dengan al-Ghazali. Beliau menerusi tafsirnya itu dengan tegas menyanggah penolakan golongan yang mengatakan penggunaan kaedah saintifik semasa tidak relevan dalam menafsirkan ayat-ayat al-Qur'an. Menurut beliau, ayat al-Qur'an yang mengandungi elemen saintifik seperti elemen alKawniyyah (alam semesta) perlu difahami berdasarkan konteks sains semasa. Hal ini adalah penting kerana memberikan nilai tambah dalam menyelesaikan kekeliruan di samping menolak dakwaan musuh Islam.

Beberapa 'ulama' yang tidak bersetuju dengannya mengkritik bahawa kitab tafsir beliau itu memuat segala sesuatu kecuali tafsir, kritikan yang sama juga dilontarkan untuk Tafsir Al-Jawahir karangan Syeikh Thanthawi Jauhari.

(3) Imam Jalaluddin As-Suyuthi (m.911 H)
Imam as-Suyuti juga adalah merupakan 'ulama' terawal yang dikenal pasti membahaskan elemen saintifik dalam al-Qur'an menerusi karya beliau berjudul Mu'tarak al-Aqran fi I'jaaz al-Qur'an.
Kajian mendapati, as-Suyuti telah membawa kepelbagaian dalam memahami konteks sebenar sains dalam al-Qur'an.
Beliau telah mendatangkan bukti ilmiah yang tidak pernah dinyatakan oleh sarjana sebelumnya. Beliau juga mengemukakan pendapat-pendapat para 'ulama' yang berbeza pandangan, seterusnya mencari jalan penyelesaian yang sesuai. Selain itu, beliau juga menyarankan agar kajian yang dilakukan hendaklah berdasarkan fakta dan syarat yang telah digariskan oleh para 'ulama', serta sekali-kali tidak mengamalkan sifat taksub terhadap mana-mana teori sebaliknya melakukan pengamatan dan penelitian yang mendalam.
As-Suyuthi memperkuat pendapat-pendapat yang mendukung penafsiran saintifik seperti dapat dilihat dalam dua buah kitabnya yang lain iaitu al-Itqan dan Iklil al-Ta'wil fi Istinbat al-Tanzil.

(4) lbnu Abi al-Fadhl al-Mursi (570-655 H)
Beliau mempunyai pendapat yang sama seperti al-Ghazali sebelumnya. Menurut beliau. Isyarat-isyarat al-Qur'an kepada dasar industrialisasi sememangnya terdapat di dalam al-Qur'an. Semua ilmu sejak awal hingga ke akhir zaman terkumpul dalam al-Quran, tidak dapat diketahui hakikat kecuali oleh Allah swt dan RasulNya.

(5) Syeikh Muhammad Abduh  (m. 1323H / 1905 M)
Beliau berpandangan al-Qur'an memuat hakikat sains (permasalahan alam semesta, secara empiris mahupun rasional). Boleh dikatakan semua pendukung tafsir saintifik berpegang bahawa alQur'an merupakan kitab yang memuat segala hal di dunia tanpa ada satu pun perkara yang terlepas, sesuai dengan finnan Allah bahawa al-Qur'an merupakan kitab suci yang memuat segala perkara tanpa terkecuali.
Al-An'am 6:38
وَمَا مِن دَآبَّةٍ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا طَٰٓئِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّآ أُمَمٌ أَمْثَالُكُمۚ مَّا فَرَّطْنَا فِى ٱلْكِتَٰبِ مِن شَىْءٍۚ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Bermaksud: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Qur'an ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (al-An'aam:38).

Permasalahan-permasalahan medikal, kosmologi. astronomi, bahkan biologi dan fizik semuanya telah terangkum dengan rapi dalam lipatan-lipatan mushaf.

(6) Syeikh Muhammad Rashid Ridha (m. 1354 H)
Syeikh Rashid Ridha adalah antara murid utama Syeikh Muhammad  Abduh. Belaiu ialah pengarang kitab Tafsir al-Manaar. Rashid Ridha merupakan salah seorang tokoh ulama' moden terawal yang menyeru umat Islam untuk memahami ayat-ayat al-Qur'an menerusi dimensi saintifik, bersesuaian kedudukan beliau sebagai peneraju Islah yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad 'Abduh pada ketika itu. Matlamat utama Rashid Ridha ialah untuk meletakkan ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran mendahului zaman serta memajukan ummah menerusi penekanan memahami ayat-ayat saintifik al-Qur'an.

(7)Syeikh Thanthawi Jauhari (1287 H-1358 H)
Beliau juga merupakan salab seorang murid terpilih Syeikh Muhamad 'Abduh. Dalam menyusun kitab tafsirnya AI-Jawahir, Thanthawi menggunakan metode analisa dengan corak Penafsiran saintifik. Karya tafsirnya berbeda daripada yang lain kerana kebanyakan berkembang pada masanya adalah penafsiran yang lebih menekankan aspek kebahasaan (penjelasan kosa kata, struktur bahasa dan nahunya), sehingga terpaku pada analisa lafaz. Penafsiran seperti itü dikritik Thanthawi kerana lebih banyak melahirkan penghafal daripada pemikir, ia juga mengakibatkan kreativiti manusia terhenti dan mati.

Adapun penafsiran yang dikembangkan Thanthawi adalah lebih menitik-beratkan pada analisis saintifik dan pandangan terhadap al-Qur'an secara menyeluruh, terutamanya yang berkaitan dengan sains (ilmu alam dan sebagainya). Penjelasan lafaz hanya diberikan dalam bentuk ringkas sahaja, beliau menyebutnya dengan 'tafsir lafzi". Ayat-ayat berkenaan dengan sains pula, dibincangkan secara panjang lebar dengan memasukkan perbahasan ilmiah dan teori-teori moden yang diambil dari pemikiran sarjana-sarjana Timur dan Barat untuk menjelaskan kepada seluruh masyarakat muslim ataupun non muslim bahawa al-Qur'an relevan dengan perkembangan sains.
Thanthawi dianggap sebagai orang yang pertama menafsirkan al-Qur'an secara lengkap berdasarkan ilmu pengetahuan modern.

(8) Syeikh Muhammad al-GhazaIi
Dalam membincangkan aspek saintifik al-Qur'an, Muhammad al-Ghazali lebih cenderung membincangkan elemen saintifık yang terdapat dalam ayat-ayat al-Kawniyyah (ayat-ayat yang menyebutkan tentang alam wujud). Beliau berpendapat I'jaaz al-'ilmi ini merupakan sub-topik I'jaaz al-Qur'an. Beliau menyebut bahawa cara untuk mengenali Tuhan dengan meneliti zatNya memang tidak ada. Jalan untuk mengenali Allah s.w.t. bermula dengan memerhati kejadian alam, dengan berfikir secara waras dalam hidup dan kehidupan, mengikhlaskan hati dan memerhati kejadian bumi dan langit. Melalui kaedah ini kita dapat melihat kebesaran Tuhan yang Maha Tinggi, dan sepatutnya kita menggambarkan kesempurnaan jalan tersebut melalui penerokaan saintifik selaras dengan perkembangan ilmu semasa.

Muhammad al-Ghazali menegaskan bahawa tidak ada pertentangan antara agama dengan sains kerana kedua-duanya dari Allah s.w.t. Jika terdapat perbezaan, maka ia bukan antara sains dengan ugama, sebaliknya antara ugama dengan kejahilan yang memakai nama ugama, atau antara ilmu dengan khayalan yang memakai nama ugama. Muhammad al-Ghazali berpendapat, mukjizat ilmiah merupakan i'jaaz walaupun ia telah diterokai oleh manusia kemudiannya. Sebagai contohnya, ilmu pengetahuan mengenai janin yang baru diketahui manusia setelah mereka mempunyai ilmu pengetahuan tentangnya. Beliau juga mengatakan perkara ini tidak membatalkan mu'jizat dan i'jaaz al-Qur'an.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan