Asas(usul) tafsir 20(6)
Pandangan Jumhur 'Ulama' Moden Tentang Tafsiran Saintifik
Pentafsiran saintifik al-Qur'an pada pandangan jumhur ulama' moden adalah diharuskan. Kerana kepentingan serta faedahnya amat banyak. Antaranya ialah:
Pertama, menambahkan keimanan bahawa al-Qur'an dari Allah s.w.t. Kedua, menolak golongan yang menimbulkan keraguan bahawa agama bercanggah dengan sains. Ketiga, sebagai batu asas bagi kaum Muslimin mengkaji ilmu-ilmu tersebut dengan lebih mendalam dan Keempat, menjadikan I'jaz al-Qur'an sebagai salah satu uslub dan metode yang baharu untuk membawa bukan Islam kepada agama Islam.
Syarat-Syarat Untuk Diterima Tafsiran Saintifik
Para 'ulama' yang membenarkan pentafsiran saintifik al-Qur'an bagaimana pun menetapkan beberapa syarat dan dhawabit (kaedah dan prinsip) bagi keharusan mentafsirkan ayat-ayat alQur'an dengan menggunakan metode dan cara itu. Antaranya ialah:
Pertama, hanya penemuan saintifik yang benar-benar berautoriti sahaja harus dijadikan sandaran apabila berinteraksi dengan ayat-ayat al-Qur'an yang tertentu. Syarat ini menolak dakwaan golongan yang mentafsirkan secara mutlak dan berdasarkan rasional semata-mata.
Kedua, hendaklah memahami ayat-ayat yang berbentuk saintifik daripada al-Qur'an dengan membezakan antara hakikat dan majaz.
Ketiga, ayat-ayat al-Qur'an menerangkan penemuan sąins itu, bukan sains yang menerangkan ayat-ayat al-Qur'an, tetapi sekiranya wujud persepakatan antara zahir ayat dengan hakikat ilmiah maka boleh ditafsirkan kedua- duanya sekali.
Dan keempat, pentafsir hendaklah tidak taksub terhadap pentafsiran saintifik semata-mata sehingga mengabaikan elemen utama yang lain ketika mentafsirkan al-Qur'an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan