Sabtu, Januari 21, 2023

Sahih bukhari kitab ilmu 0065(123) 21/01/23



Sahih bukhari kitab ilmu 21/01/23

١٥- باب الاِغْتِبَاطِ فِي الْعِلْمِ وَالْحِكْمَةِ: وَقَالَ عُمَرُ تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا
قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ : وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ

Bab (15): Minat Yang Mendalam Kepada `Ilmu Dan Hikmah.¹⁸¹ `Umar Berkata: “Dalamilah `Ilmu Sebelum Kamu Dijadikan Pemimpin.¹⁸²  Abu `Abdillah (Al-Bukhari Berkata: “ ... Dan Setelah Kamu Dijadikan Pemimpin,¹⁸³ Kerana Sahabat-Sahabat Nabi S.A.W. Mempelajari `Ilmu Setelah Mereka Tua.”

74 - Al-Humaidi meriwayatkan kepada kami, katanya, Sufyan meriwayatkan kepada kami, katanya, Isma`il bin Abi Khalid meriwayatkan kepadaku berlainan daripada apa yang diceritakan kepada kami oleh al-Zuhri,¹⁸⁴ katanya: 
“Saya telah mendengar Qais Bin Abi Hazim, berkata: Saya telah mendengar `Abdullah Bin Mas`ud berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak ada kedengkian ¹⁸⁵ melainkan terhadap dua macam orang. (Pertama ialah)Seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta, lalu dia membelanjakannya sampai habis di jalan kebenaran.¹⁸⁶ Dan (kedua ialah) seseorang yang Allah kurniakan kepadanya kebijaksanaan,¹⁸⁷ maka dia membuat keputusan berdasarkan kebijaksanaan yang diberikan kepadanya itu ¹⁸⁸ di samping mengajarkannya juga kepada orang lain.”¹⁸⁹


_________

¹⁸¹ Setelah Imam Bukhari membuat tajuk tentang kepentingan usaha untuk mendapatkan ilmu yang mendalam, beliau mengemukakan tajuk yang 
menggambarkan situasi selepas seseorang itu berjaya mendapat ilmu yang mendalam iaitu rasa minat dan tertariknya orang lain terhadap ilmu dan kebaikan yang ada padanya.
Minat itulah yang akan mendorong seseorang itu untuk lebih berusaha dan bersemangat untuk mendapatkan sesuatu, terutama pada golongan yang muda dan 
generasi baharu atau kepada golongan tua, sehingga mereka menaruh harapan kepada anak cucu dan keturunannya agar mendapatkan kelebihan itu suatu hari nanti. Minat yang dikehendaki ialah minat kepada ilmu, bukan kepada keduniaan kerana semua kelebihan perlu diusahakan tetapi yang paling utama ialah ilmu.
Tidak sepatutnya apabila kita melihat suatu kelebihan pada seseorang, kita tidak berasa minat atau ingin berusaha untuk mendapatkannya walaupun sedikit, kerana itu 
menunjukkan bahawa kita tidak mengenal kelebihan dan keutamaan yang ada pada seseorang, ia menunjukkan bahawa kita tidak pandai menilai sesuatu yang berharga.
Seorang muslim tidak sepatutnya melihat ahli ilmu sebagai orang yang lebih kerana mendapat kelebihan duniawi berupa harta kekayaan, kemewahan hidup dan pangkat, 
tetapi sepatutnya dia melihat ahli ilmu itu lebih kerana dia telah mendapat kebaikan yang banyak seperti disebutkan oleh Rasulullah, mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Allah s.w.t. dan kerana dia telah berbuat sesuatu untuk agama dan masyarakatnya.
Hadits bab yang dibawakan oleh Imam Bukhari menyebutkan bahawa ahli ilmu berusaha untuk memahami ilmunya, melaksanakan apa yang dipelajarinya dan 
mengajarkannya kepada orang lain serta menyebarkannya kepada masyarakat.

¹⁸² Di dalam nuskhah yang lain disebutkan تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا dengan fathah dalnya, ia bermaksud: “Dalamilah ilmu sebelum kamu menjadi pemimpin”.
Ada juga yang menafsirkan kata-kata Sayyidina `Umar r.a. ini bahawa “Dalamilah ilmu sebelum kamu menjadi tua” ya`ni masa untuk belajar ialah masa muda, ma`na
‘tua’ itu difahami daripada kalimah سَيد sayyid, ia boleh juga dipakai dengan ma`na ketua dan penghulu, kerana semua orang akan menjadi ketua, seorang bapa adalah  ketua keluarga, seorang ibu juga adalah ketua kepada anak-anaknya, maka setiap orang perlu mendalami ilmu sebelum sampai ke peringkat menjadi ketua.

Ada juga yang mengatakan تُسَوَّدُوا itu memberi maksudتَزَّوَّجُوْا menjadikan  maksudnya: “Dalamilah ilmu sebelum kamu berkahwin” kerana selepas mendirikan 
rumah tangga, akan timbul pelbagai masalah. Begitulah juga orang yang dilantik menjadi ketua, akan sibuk dengan tugasannya. Ada pendapat lain yang mengatakan 
maksud تُسَوَّدُوا ialah: “Dalamilah ilmu sebelum (janggutmu) menjadi hitam (dan lebat)”, mafhumnya sama dengan sebelum kamu menjadi tua.

¹⁸³ Al-Firabri, penyusun kitab ini menukilkan kata-kata Imam Bukhari di sini, beliau berkata begini sebagai تكملة atau penyempurna kepada kata-kata Sayyidina `Umar r.a. 
tadi, beliau mengajar pembaca-pembaca kitab ini bahawa janganlah difahami daripada kata-kata `Umar r.a. itu bahawa pintu ilmu telah tertutup dan tiada peluang lagi 
selepas menjadi tua atau dilantik sebagai pemimpin untuk mencari ilmu, kerana seseorang yang mempunyai semangat yang tinggi, kesabaran yang kuat dan bersedia 
untuk menghadapi ujian yang besar mestilah boleh menuntut ilmu walaupun setelah dilantik menjadi pemimpin, tua dan berkahwin. Apa yang disebutkan oleh Sayyidina `Umar r.a. adalah masa yang paling baik untuk seseorang itu menimba ilmu.

¹⁸⁴ Imam Bukhari ingin memberitahu bahawa jika didapati sanad bagi sesuatu hadits berbeza, maka janganlah terus dianggap sebagai sanad yang mudhtharib. 
Kebiasaannya pada sanad yang mudhtharib terdapat perawi yang digugurkan, tetapi di sini tidak ada sesiapa yang digugurkan. Sanad az-Zuhri yang lain bentuknya itu 
dikemukakan juga oleh Imam Bukhari di tempat lain di dalam Shahihnya ini. Kalau begitu, riwayat ini mempunyai dua saluran, pertama daripada az-Zuhri dan keduanya 
daripada Isma`il bin Abi Khalid. Tujuan Imam Bukhari mengemukakan dua sanad ini ialah untuk menghilangkan waham sanadnya mudhtharib dan untuk menguatkan sanad hadits ini dengan mutābi` dan syahid daripada sanad yang lain.

¹⁸⁵ Perkataan إغتباط yang dikemukakan oleh Imam Bukhari di dalam tajuk bab itu tidak dipetik daripada mana-mana lafaz hadits, tetapi ia diambil daripada mafhum لاحسد
“Tidak ada kedengkian”. Tajuk bab yang menafsirkan hadits sebegini dipanggil ترجمة شارحة dalam Usul Tarjmah Bab, iaitu tajuk yang berperanan menjelaskan hadits bab 
yang ada di bawahnya, kerana jika dipakai dengan ma`na literalnya tentu sekali akan mengelirukan dan bukan itu kehendak Nabi s.a.w. yang sebenarnya.
Hasad yang disebutkan di sini bukanlah dengki dengan ertinya yang sebenar iaitu seseorang menginginkan kebaikan yang ada pada orang lain hilang dan dia sahaja 
yang mendapatkannya. Tetapi hasad di sini bermaksud ghibtah (غبطة ), ghibtah pula ialah seseorang menginginkan kebaikan yang ada pada orang lain dengan tidak 
mengharapkan hilang kebaikan itu daripadanya. Hasad dengan erti yang sebenar itu  dilarang oleh Nabi s.a.w. sendiri, maka tentulah hasad di dalam hadits ini memberi 
ma`na ghibtah kerana ia dibenarkan, malah digalakkan.
Sebenarnya boleh saja jika perkataan hasad dipakai dengan ertinya yang sebenar,tetapi mestilah ditaqdirkan beberapa perkataan sebelumnya, seperti: لَوْ كَانَ الحَسَدَ جَائِزًا  لكان في هذين ولكانه ممنوع ففي غيرهما أولى بالمنع atau فغيرهما ممنوع يقينا
 Kalaulah: “bermaksud hasad itu sesuatu yang harus, tentulah ia boleh pada dua perkara ini, tetapi pada dua 
perkara ini pun ia terlarang, maka ia lagi patut terlarang pada selain dua perkara ini”
atau “maka terlarangnya hasad pada perkara lain sudah pasti”. Tafsiran sebegini menunjukkan keistimewaan dua sifat ini jika ada pada seseorang manusia.
Tetapi penggunaan kalimah hasad sebagai ghibtah oleh Imam Bukhari di sini lebih tepat kerana ada riwayat lain di dalam Shahihnya ini pada Bab Fadha’il al-Qur’an. Di 
dalamnya tersebut begini:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ إِبْرَاهِيمَ حَدَّثَنَا رَوْحٌ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ سُلَيْمَانَ سَمِعْتُ ذَكْوَانَ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا حَسَدَ إِلَّا فِي اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ عَلَّمَهُ اللَّهُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يَتْلُوهُ آنَاءَ اللَّيْلِ وَآنَاءَ النَّهَارِ فَسَمِعَهُ جَارٌ لَهُ فَقَالَ لَيْتَنِي أُوتِيتُ مِثْلَ مَا أُوتِيَ فُلَانٌ فَعَمِلْتُ مِثْلَ مَا يَعْمَلُ وَرَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَهُوَ يُهْلِكُهُ فِي الْحَقِّ فَقَالَ رَجُلٌ لَيْتَنِي أُوتِيتُ مِثْلَ مَا أُوتِيَ فُلَانٌ فَعَمِلْتُ مِثْلَ مَا يَعْمَلُ
Bermaksud: “Tidak ada kedengkian melainkan terhadap dua macam orang. (Pertama ialah) Seseorang yang Allah mengajarkan kepadanya al-Qur’an, maka dia membacanya malam dan siang, lalu jirannya mendengarnya dan berkata: “Aduhai! Kalaulah aku dikurniakan sebagaimana dikurniakan kepada si fulan, maka aku juga 
akan beramal sepertinya”. Dan (kedua ialah) seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta, maka dia membelanjakannya sampai habis di jalan kebenaran, lalu 
ada orang berkata: “Aduhai! Kalaulah aku dikurniakan (harta) seperti dikurniakan kepada si fulan, niscaya aku juga akan beramal sepertinya.”
Daripada hadits ini dapat difahami bahawa dia tidak mahu kelebihan itu hilang daripada orang lain, cuma dia juga mahukan kelebihan seperti itu ada padanya.

¹⁸⁶ Qaid ini (di jalan kebenaran) menafikan andaian bahawa membelanjakan semua harta sehingga habis merupakan suatu pembaziran atau sikap melampau (إسراف ) yang 
terlarang, kerana menghabiskan semua harta di jalan kebenaran adalah suatu kebaikan yang dibenarkan. Adapun shahabat yang dilarang Nabi s.a.w. daripada membelanjakan semua hartanya itu pula, dilarang kerana keadaannya yang tidak sesuai jika dia membelanjakan semuanya. Mungkin dia mempunyai anak yang masih 
memerlukan kepada harta dan lain-lain.
Sayyidina Abu Bakar r.a. pula contoh shahabat yang mengorbankan seluruh hartanya untuk Islam tetapi tidak dilarang oleh Nabi s.a.w., kerana keluarga dan masyarakat 
sekelilingnya memahami keadaannya dan tidak akan timbul apa-apa fitnah disebabkan tindakannya itu. Ini menunjukkan perlunya ada suatu kesediaan selain 
daripada kesediaan harta, iaitu kesediaan jiwa, diri, keluarga dan orang sekelilingnya.
Diriwayatkan bahawa ada seorang shahabat memberikan seketul emas untuk dibelanjakan di jalan Allah, tetapi Rasulullah s.a.w. menolaknya dan mengembalikannya, kerana dia belum lagi mempunyai kesediaan untuk 
membelanjakan keseluruhan hartanya.
Itulah bukti dua sifat ini merupakan kemuncak keistimewaan yang sukar dicapai sehingga patut dicemburui oleh orang yang tidak berjaya mencapainya.
Harta yang banyak adalah suatu kelebihan tetapi jika kita berfikir sejenak dan bertanya: Untuk apakah disimpan harta? Mungkin ada yang menjawab untuk anak 
cucu kemudian hari, tetapi ada juga yang kedekut terhadap mereka. Mungkin ada pula yang berkata, untuk bermewah-mewahan, tetapi ada juga orang yang tidak bermewah-mewah, harta yang ada hanya sekadar untuk menenangkan hatinya buat seketika,
seolah-olah dia memiliki sesuatu dalam kehidupannya, walaupun hartanya tidak bermanfaat untuk dirinya dan orang lain. Menyimpan harta tanpa membelanjakannya di jalan yang benar adalah kerana lupa terhadap hakikat harta sebagai ujian dan mungkin menjadi bala pada hari akhirat nanti. 
Firman Allah s.w.t.:
At-Taghabun 64:15إِنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَٰدُكُمْ فِتْنَةٌۚ وَٱللَّهُ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌ 
Bermaksud: Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian. (at-Taghabun:15).

Orang yang menyimpan hartanya di dunia, akan beralih miliknya kepada orang lain setelah matinya, tetapi orang yang membelanjakan hartanya di jalan kebenaran 
sebenarnya menyimpan hartanya di sisi Allah dan dia akan mendapat ganjarannya di akhirat kelak. Harta jika dikaitkan dengan dunia, maka hanya setakat dunia, tetapi jika 
dikaitkan dengan agama, faedahnya selama-lama. Sabda Rasulullah s.a.w.:
إِتَّقُوْا النَّرِ وَلَوْبِشِقِّ تَمْرَةٍ
Bermaksud: “Hindarilah neraka walaupun hanya dengan (memberi) secubit buah tamar.”

Orang yang mempunyai jiwa sebegini adalah orang yang cerdik kerana memikirkan masa depan yang panjang, keselamatan dan keselesaan yang diperolehinya bukan 
sekadar untuk kehidupan di dunia sahaja bahkan hingga ke akhirat. 

Selain itu dia juga merasa senang hati kerana orang lain mendapat kesenangan disebabkan pemberiannya itu, menunjukkan orang yang berjiwa begini juga adalah 
seorang yang berhati mulia. Ada juga orang yang senang hati apabila hartanya dibelanjakan untuk diri sendiri, tetapi berat hati untuk membelanjakan hartanya kepada orang lain.

¹⁸⁷ Imam Bukhari ingin memberitahu bahawa hikmat adalah ilmu, tetapi ilmu yang lebih tinggi, hasil daripada faham yang mendalam dan usaha yang bersungguh-sungguh, hikmat juga mestilah berpunca daripada ilmu yang merupakan asas pengetahuan. Apabila asas hikmat adalah ilmu, Imam Bukhari meletakkan perkataan  علم di dalam tajuk babnya, walaupun tiada perkataan itu di dalam matan hadits. Beliau tidak meninggalkan perkataan hikmat kerana ia memang ada disebutkan di dalam hadits.

¹⁸⁸ Tentu sekali apa sahaja yang dilakukan dengan ilmu akan selamat sebagaimana diakui dalam semua bidang ilmu.

¹⁸⁹ Keputusan yang dibuat kepada dirinya sendiri adalah manfaat untuk dirinya, keputusannya untuk mengajar orang lain ilmunya itu pula adalah manfaat untuk orang 
lain. Ilmu yang sedikit tentunya tidak memadai untuk seseorang itu mengajarkannya kepada orang lain, secara tidak langsung Nabi s.a.w. mendorong kita supaya belajar 
sampai ke peringkat tinggi supaya dapat mengajar orang lain juga dan tidak terhad  ilmu hanya untuk diri sendiri sahaja.
Orang yang mempunyai kedua-dua sifat yang dicemburui ini sangatlah jarang ditemui dalam sejarah dunia, antaranya ialah Nawab Siddiq Hasan Khan. Adapun yang 
mempunyai kekayaan dan membelanjakannya di jalan kebenaran sahaja di zaman kita ini sehingga ditakuti musuh Islam ialah seperti Osama bin Laden, ketakutan musuh 
Islam ialah kerana beliau berganding bahu bersama Mulla Omar, iaitu seorang yang dikurniakan kebijaksanaan dan mengajarkannya kepada orang lain. Gandingan antara 
orang yang dikurniakan ilmu dengan yang dikurniakan harta yang lain pula ialah seperti Maulana Rahmatullah Kiranwi dan Saulat.

Antara pengajaran dan pedoman yang dapat diambil daripada hadits ini ialah: 
(1) Perkara yang perlu digemari hanya dua, iaitu ilmu dan harta yang digunakan dengan baik. 
(2) Hikmat adalah kemuncak ilmu. 
(3) Orang yang berani menghabiskan hartanya di jalan kebenaran itu tentunya melakukan begitu kerana mempunyai ilmu yang benar. Ini menunjukkan dia bukan sahaja mempunyai harta, tetapi juga mempunyai ilmu, kerana kebiasaannya orang yang mempunyai harta akan bersifat kedekut dan sayangkan harta, firman Allah s.w.t.:
Al-'Adiyat 100:8 وَإِنَّهُۥ لِحُبِّ ٱلْخَيْرِ لَشَدِيدٌ 
Bermaksud: Dan sesungguhnya ia (manusia) melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (al-`Aadiyat:8). 

(4) Agama kita mengajar supaya setiap individu mencari ilmu agama secara mendalam supaya tidak menjadi seperti agama-agama lain yang hanya ahli ilmu sahaja mengetahui urusan agama dan mereka dibayar supaya melakukan upacara-upacara tertentu atas nama upacara keagamaan, padahal apa yang mereka lakukan itu boleh saja dilakukan sendiri dan merupakan tanggungjawab masing-masing.

(5) Apabila agama diasingkan daripada urusan dunia, maka kebanyakan orang yang bukan ahli ilmu akan merasakan mereka tiada lagi ruang untuk mencampuri urusan 
agama, kerana semuanya akan diserahkan kepada orang agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan