Ahad, Februari 05, 2023

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 05/02/23(01)

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 05/02/23(01)

⁶⁰⁷ Hadits Ifk adalah antara hadits Bukhari yang dipertikaikan kesahihannya oleh sekumpulan ulama hadits. Ia bukan sahaja terdapat di dalam Sahih Bukhari, bahkan 
terdapat juga di dalam kitab-kitab utama hadits yang lain. Menurut mereka banyak sekali terdapat keraguan di dalamnya. Di bawah ini dikemukakan sebahagian daripada keraguan yang terdapat di dalamnya menurut pandangan mereka:


Beberapa Keraguan Yang Terdapat Di Dalam Hadits Ifk Ditinjau Dari Sudut Dirayat Hadits.
1. Peristiwa Ifk dikatakan telah berlaku selepas turunnya ayat hijab, sedangkan ayat hijab turun selepas perang Bani al-Mushthaliq, ketika perkahwinan Zainab dengan Rasulullah s.a.w. Jadi pada tahun berapakah sebenarnya peristiwa ini berlaku?

2. Dalam peristiwa Ifk ini langsung tidak terdapat cerita mengenai mereka berhenti bershalat. Padahal shalat adalah perkara yang paling dijaga oleh Rasulullah dan para 
sahabatnya.

3. Keadaan di tengah padang pasir pada waktu malam sangat bahaya, bagaimana `Aaishah boleh terlelap tanpa rasa takut, sedangkan menurut hadits Ifk beliau masih 
seorang gadis kecil, kebiasaannya gadis kecil akan menangis bila menghadapi saat-saat begitu?

4. Shafwān bin Mu`atthal adalah salah seorang ahli Badar yang diseret sama dalam fitnah ini. Untuk mengukuhkan lagi dakwaan palsu mereka agar kita curiga dengan apa yang berlaku antara Shafwan dan `Aaishah dalam perjalanan ketika peristiwa Ifk ini, penjenayah dengan liciknya mencipta sebuah lagi hadits dengan sanad yang sahih tetapi haditsnya mungkar. Hadits itu menggambarkan Shafwan seorang yang kuat nafsu hingga sanggup memukul isterinya jika membaca dua surah dalam shalat menyebabkan lama shalatnya dan sanggup membatalkan puasa sunat isterinya. Semuanya kerana tidak dapat 
menahan nafsu berahinya.


5. `Aaishah dan Safwan sampai ke tempat Rasulullah s.a.w. dan tenteranya ketika sudah tengah hari, bagaimana dalam tempoh yang panjang sebegitu Rasulullah s.a.w. boleh 
duduk diam dengan kehilangan isterinya? Tidakkah Baginda boleh mengeluarkan arahan kepada para tentera untuk mencari isterinya? 


6. `Aaishah dalam ceritanya langsung tidak menyebut dalam perjalanannya bersama Safwan mereka ada berhenti rehat atau berhenti untuk bersembahyang sebagaimana 
lazimnya berlaku semasa perjalanan Rasulullah s.a.w. bersama para sahabatnya.

7. Peristiwa ini berlarutan selama satu bulan, bermula dari pertengahan bulan Sya`ban hingga separuh bulan Ramadhan. Sudah menjadi kelaziman di bulan Ramadhan, 
Rasulullah s.a.w. bertadarus al-Qur’an bersama Jibril, soalnya ialah kenapa Rasulullah tidak bertanyakan terus Jibril tentang masalah yang dihadapinya pada ketika itu?

8. Sifat dan perangai Rasulullah s.a.w. digambarkan tidak seperti kebiasaannya, sifat lembutnya hilang kerana marah kepada `Aaishah. Biasanya Rasulullah sangat prihatin 
terhadap orang sakit, Baginda selalu menziarahi orang sakit tidak kira apa agamanya, tetapi sikapnya terhadap isteri yang sedang sakit kali ini tidak seperti biasa. 

9. Misthah seorang ahli Badar digambarkan bermulut celupar dalam menyebarkan fitnah terhadap Ummul Mu’minin. Padahal sifat ahli Badar yang dijamin syurga tidak selayaknya begitu.

10. Rasulullah membiarkan isterinya pulang ke rumah orang tuanya tanpa ditemaninya dalam keadaan masalah belum selesai. Hadits Ifk tidak menggambarkan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang prihatin dan bijaksana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan