Ahad, Februari 05, 2023

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 05/02/23(02)

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 05/02/23(02)
11. Usamah bin Zaid berumur sekitar 12 tahun ketika peristiwa ini berlaku, bagaimana Rasulullah s.a.w. boleh mengambil kesaksian daripada seorang budak sekecil itu, 
sedangkan ayahnya juga ada, kenapa Baginda tidak merujuk kepada ayahnya yang tentu sekali lebih memahami permasalahan? Di mana logiknya tindakan Rasulullah s.a.w. itu?

12. Berdasarkan beberapa riwayat sahih yang lain, Barirah dibeli dan dimerdekakan oleh `Aaishah pada tahun ke-8 Hijrah selepas pembukaan Mekah, sedangkan peristiwa ini 
berlaku pada tahun ke-5/6 Hijrah ketika Barirah masih seorang hamba kepada orang lain, bilakah masanya Barirah tinggal bersama `Aaishah sehingga beliau mengenali `Aaishah dengan lebih dekat?

13. Pergaduhan antara Aus dan Khazraj telah lama terpadam, hadits Ifk pula menggambarkan mereka masih bermusuhan dan tidak beradab di hadapan Nabi s.a.w. 
semangat kepuakan dua golongan Anshar itu digambarkan masih menebal.

14. Jika peristiwa ini benar-benar berlaku, kenapa Rasulullah s.a.w. tidak menjalankan hukum qazaf terhadap orang-orang yang menuduh? Kenapa Baginda tidak meminta empat orang saksi daripada yang menuduh?

15. `Aaishah hanya tahu sedikit sahaja daripada al-Qur’an, sedangkan `Aaishah terkenal dengan kepintarannya dapat menghafal al-Qur’an sejak kecil dan beribu-ribu hadits telah
pun dihafalnya pada ketika itu.

16. Abu Bakar digambarkan berpendirian tidak baik terhadap orang-orang susah, ini tidak sesuai dengan gelarannya sebagai as-Shiddīq dan pemurah tanpa berkira. Apalagi sesama ahli Badar. Gambaran yang diberi menunjukkan iman Abu Bakar mudah goyah, dan ini 
tidak sesuai dengan sifat sahabat yang dijami syurga.

17. Dikatakan Hamnah binti Jaĥsyin ingin membela saudaranya Zainab yang menjadi saingan kepada `Aaishah dalam kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w., sedangkan Nabi s.a.w. mengahwini Zainab selepas peperangan Bani al-Mushthaliq. Boleh jadi juga penjenayah hadits ingin menjatuhkan maruah suami Hamnah yang juga ahli Badar, iaitu Thalĥah bin `Ubaidillah kerana beliau adalah antara orang yang tidak membai`ah Saiyyidina `Ali di zaman khilafahnya. Puak-puak Syi`ah memang sakit hati dengan sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan `Ali. 

18. `Aaishah sendiri dalam riwayat ini tidak menceritakan dalam peperangan manakah peristiwa ini berlaku, perawi-perawi juga tidak menyebutnya. Tidak masuk akal peristiwa sepahit itu tidak diingat oleh `Aaishah dalam peperangan manakah ia telah berlaku.

19. Peristiwa ini umumnya dikaitkan dengan peperangan Bani al-Mushthaliq, yang peliknya peristiwa terjatuh kalung yang menyebabkan turun ayat tayammum juga dikatakan telah berlaku dalam peperangan Bani al-Mushthaliq. Ini juga satu hal yang tidak masuk akal kerana kedua-duanya bertentangan sama sekali.

20. Jika diterima dua peristiwa jatuh kalung itu telah berlaku dalam peperangan yang berlainan, mestilah ada dahulu kemudiannya. Yang mana satu daripadanya berlaku dahulu dan mana kemudian? Soalnya kenapakah tidak tersebut dalam mana-mana riwayat sahih teguran dan cemuhan daripada Rasulullah s.a.w. atau Abu Bakar atau orang-orang lain terhadap `Aaishah, bahawa sebelum ini pun telah berlaku terjatuh kalung, kali ini pula berlaku lagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan