Ahad, Februari 05, 2023

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 05/02/23(03)

Sahih Bukhari Kitab Maghazi 05/02/23(03)
21. Bagaimana mungkin keempat-empat orang pemikul sekedup tidak sedar dan perasan ada atau tidak ada orang di dalamnya sepanjang-panjang perjalanan yang begitu jauh itu.Takkanlah mereka tidak berhenti langsung sekurang- kurangnya untuk buang air kecil atau untuk rehat sekejap. Keperluan untuk buang air bukan hanya melibatkan `Aaishah, ia juga melibatkan pemikul-pemikul sekedupnya. Kalau mereka hendak berhenti, tidak mungkin mereka 
tidak bertanya `Aaishah yang di dalam sekedup sama ada mahu buang air juga atau tidak.

22. Seringan-ringan orang pun paling tidak beratnya 20 atau 30 kilo, takkanlah ada atau tidak adanya di dalam sekedup tidak disedari pemikul-pemikulnya. Sekedup kosong dan 
sekedup yang ada orang seberat 30 kilo sekalipun jauh bezanya.

23. Kebiasaan orang dalam perjalanan jauh menaiki unta akan berjalan dalam kumpulan, dan mereka bercengkerama sambil berada di atas unta masing-masing untuk
menghilangkan kejemuan dan keletihan, terutamanya suami isteri. Adakah Rasulullah langsung tidak berjalan seiringan dengan isterinya dalam perjalanan itu? Adakah Baginda tidak berasa isterinya memerlukan apa-apa dalam perjalanan sejauh itu, sehingga Baginda tidak sedar bahawa isterinya telah tertinggal jauh di belakang?

24. Peperangan di zaman Nabi s.a.w. turut disertai golongan wanita. Antara tugas utama mereka ialah merawat tentera-tentera yang tercedera, memasak dan lain-lain. Dan tentu mereka berada di dalam khemah yang berasingan daripada khemah golongan lelaki. 
Kalau diandaikan `Aaishah juga bersama mereka, maka jelas sekali hadits Ifk ini  menggambarkan `Aaishah seperti seorang yang tidak mempunyai apa-apa kedudukan 
pada pandangan mereka. Kalau tidak bagaimana boleh mereka biarkan `Aaishah pergi sendirian untuk buang air dan kemudiannya mencari kalungnya yang terputus?

25. Hadits Ifk tidak menggambarkan `Aaishah sebagaimana sepatutnya, seorang isteri Nabi s.a.w. pada pandangan para sahabat, baik lelaki mahupun perempuan jauh lebih tinggi dan terhormat daripada seorang permaisuri. Mereka akan menjaganya sebaik mungkin. Bagaimana pula permaisuri dibiarkan pergi seorang diri di padang sahara pada waktu malam untuk buang air? Sedangkan di dalam hadits ini juga disebutkan setelah
sampai ke Madinah, `Aaishah ditemani Ummu Misthaĥ ketika keluar untuk buang air? Mana lebih selamat, padang sahara yang tidak pernah ditempuhi atau Madinah?

26. Paling tidak dalam perjalanan itu Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya akan berhenti pada waktu subuh untuk melaksanakan shalat Subuh. Adakah setelah berhenti untuk bershalat Subuh juga Nabi s.a.w. tidak menjenguk isterinya? Adakah setelah begitu jauh 
dan lama berjalan Nabi s.a.w. tidak berasa perlu bertanya isterinya walaupun dengan hanya sepatah perkataan? Bagaimana dengan perempaun-perempuan yang ikut serta 
dalam perjalanan itu, adakah mereka juga masih tidak sedar tentang ketiadaan `Aaishah bersama? 

27. `Aaishah dalam hadits Ifk ini tidak menyebut suasana pada malam kejadian. Adakah ia cerah atau tidak. Lampu tentu sekali tidak ada bersamanya, lalu bagaimana ia mencari seorang diri biji-biji permata yang telah bertaburan di atas tanah atau pasir apabila terputus pengikatnya? Tempat terjatuh itu pula tempat dia sendiri dan mungkin juga sahabat-sahabatnya yang lain keluar untuk buang air? Bayangkan betapa sukar `Aaishah yang masih seorang kanak-kanak mentah mencari permata-permata kalungnya yang telah bertaburan di situ. Sifat keanak-anakan `Aaishah ditonjolkan di dalam hadits ini apabila dikatakan beliau leka dalam mencari dan mengutip permata-permata yang bertaburan itu sehingga kafilahnya berlepas pergi.

28. Riwayat ini juga menggambarkan sifat peribadi `Aaishah yang berlawanan dan bertentangan. Di satu pihak beliau digambarkan sebagai seorang wanita yang cukup 
matang apabila menegur Ummu Misthaĥ – seorang yang jauh lebih dewasa daripadanya –kerana memaki dan mnyumpahi anaknya. Ingatkah kamu apa katanya kepada Ummu Misthaĥ? “Sungguh buruk apa yang kamu ucapkan tadi. Apakah kamu mencela seorang laki-laki yang pernah ikut serta dalam perang Badar?”
Di satu pihak yang lain pula beliau digambarkan sebagai seorang yang masih terlalu kebudak-budakan. Beliau dikatakan selalu tertidur sewaktu menguli gandum dan suka pula bermain anak patung!

29. Jika diterima `Aaishah semasa peperangan itu masih mentah, baru berumur sekitar 12 tahun, bagaimana seorang yang bijaksana seperti Rasulullah boleh terfikir untuk
membawanya ke medan perang, sedangkan ia boleh mendedahkannya kepada bahaya? 
Ini kerana mana-mana wanita yang ditawan oleh pihak musuh dalam peperangan pada masa itu akan dijadikan hamba abdi. Kemungkinan seorang budak perempuan yang masih mentah ditawan sangatlah besar, 
lantaran ia tidak mampu melawan tentera musuh yang dewasa lagi gagah. Jadi apakah sebenarnya tujuan Nabi s.a.w. membawa `Aaishah bersamanya ke medan perang, 
sedangkan dia tidak mampu memainkan apa-apa peranan kerana kementahannya?

30. Setelah mendapat tahu tentang fitnah yang tersebar kononnya `Aaishah telah berkelakuan tidak baik dengan Safwan, Nabi s.a.w. dikatakan terus bersikap dingin 
terhadap `Aaishah tanpa meneliti kebenaran cerita yang tersebar itu. Bukankah Baginda seorang yang cukup mengenali isterinya? Kenapa Baginda langsung tidak bertanya kepada `Aaishah sendiri tentang apa sebenarnya yang berlaku? Semua ini hanya menunjukkan Nabi s.a.w. adalah seorang yang mudah terpengaruh dengan khabar angin yang tersebar sehingga mula meragui isterinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan